Pilih Bahasa

Rugi RM12,000 ditipu sindiket Macau Scam menyamar polis dan pegawai LHDN

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang lelaki kerugian RM12,000 selepas terpedaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa berusia 22 tahun dihubungi seorang lelaki yang mengaku pegawai LHDN, 11 Mei lalu.

Katanya, lelaki yang menyamar sebagai pegawai LHDN itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM36,800.90.

“Ketika menerima panggilan, mangsa yang menafikan tunggakan itu kemudiannya disambungkan kepada lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis.

“Ketika bercakap dengan lelaki kononnya mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, lelaki itu mendakwa, bagi membersihkan nama mangsa daripada senarai hitam, suspek meminta mangsa untuk mendedahkan butiran akaun bank dan kata laluan.

“Selepas maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM12,000 di dalam akaun bank miliknya dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

“Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan untuk pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan hukuman maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

“Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan.

“Perkara ini juga perlu dipandang serius oleh seluruh masyarakat bagi mengelak daripada mengalami kerugian yang tidak diingini,” katanya. – SabahNewsToday