Pilih Bahasa

Rukut-Rukut FC juara Kejohanan Bolasepak Veteran Piala Upko Telupid Beluran 2019

TELUPID: Pasukan Rukut-Rukut FC muncul juara kejohanan bolasepak veteran Piala Upko Telupid Beluran 2019 selepas menewaskan pasukan Gabungan Veteran Labuk 6-2 di perlawanan akhir.

Ditempat ketiga ialah X-SMK Telupid yang menewaskan pasukan Veteran Power 1 – 0.

Juara kejohanan bolasepak veteran Piala Upko Telupid Beluran, Rukut-Rukut FC. Gambar SNT/Ihsan Upko Beluran

Majlis perasmian penutupan telah di sempurnakan oleh Felix Joseph Saang Ketua Pemuda Upko Pusat yang juga merupakan Ketua Bahagian Upko Beluran baru-baru ini.

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama sebulan lebih itu.

Menurut Pengerusi Penganjur Tommy Amir sambutan terhadap kejohanan bolasepak veteran yang julung-julung kali diadakan di daerah Telupid itu amat membanggakan.

Felix diperkenalkan kepada para pemain sebelum pertandingan akhir bermula. Gambar SNT/Ihsan Upko Beluran

“Sebenarnya banyak lagi pasukan yang mahu menyertai tetapi kita hadkan kepada 12 pasukan sahaja untuk penganjuran kita yang pertama ini.

“Upko Telupid Beluran telah memulakan kejohanan veteran di Daerah Telupid dan kami begitu teruja kerana telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan,” ujar Tommy.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Felix memuji pihak penganjur kerana kejohanan berjalan dengan baik dan lancar serta mencapai objektif penganjuran.

“Saya ucapkan tahniah kepada para pemenang dan syabas kepada semua pasukan. Saya percaya salah satu matlamat kejohanan ini yang bermula sejak awal bulan Oktober adalah untuk memberi sokongan padu kepada program Bulan Sukan Negara yang telah diperkenalkan oleh Menteri Belia Dan Sukan Negara,” kata Felix.

Felix bersama jawatankuasa penganjur. Gambar SNT/Ihsan Upko Beluran

Beliau turut memberi penghargaan kepada warga Telupid Beluran yang hadir memberi sokongan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

“Kita harapkan selepas ini lebih ramai pihak akan terbuka untuk menganjurkan lagi kejohanan bolasepak veteran seperti ini di daerah Telupid. Program seperti ini sudah pasti akan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.”

Kejohanan ini juga berjaya menarik ramai bintang lagenda bolasepak tempatan antaranya Yap Wai Loon, Jekrison Kilan, Dominic Minsi, Dunian Sulog, Henry Giaw, Simon Jaini, Amirshah Alicha, Jonay Mangabun dan Condrad Monjungkim.-SabahNewsToday