Pilih Bahasa

Rumah atas air musnah terbakar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Dua rumah atas air musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Tampi-Tampi, di sini hari ini.

Dalam kebakaran itu, sebuah rumah turut terbakar 20 peratus di bahagian dapur.

Api marak dan memusnahkan dua buah rumah atas air di Kampung Tampi-Tampi. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Balai Bomba dan Penyelamat Semporna menerima panggilan pukul 9.09 pagi dan bertindak ke lokasi kebakaran dengan jarak sembilan kilometer menaiki dua jentera penyelamat.

Setibanya di lokasi, sembilan anggota dan seorang pegawai menjalankan operasi memadam kebakaran dan menyelamat.

Pihak bomba berjaya memadam kebakaran daripada merebak ke rumah lain berikutan jarak kedudukan rumah berdekatan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dua rumah musnah manakala sebuah rumah terbakar di bahagian dapur.

Kebakaran dilaporkan terkawal pukul 9.24 pagi dan ditamatkan pukul 10.32 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – SabahNewsToday