Pilih Bahasa

RUMAH MUSNAH DIJILAT API DI KAMPUNG BARIAWA, KENINGAU

Oleh Alfred Petrus

Rumah sedang dijilat api di Kampung Ulu Bariawa, Keningau. Gambar SNT/Ehsan Bomba

KENINGAU: Sebuah rumah musnah dalam satu kebakaran petang di Kampung Ulu Bariawa di sini tadi.

Namun, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Mudi Pangiran berkata, tiada kecederaan mangsa dilaporkan pada kejadian berkenaan.

Jelasnya, BBP Keningau menerima panggilan kecemasan berkenaan pada jam 5.14 petang dan setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah yang berkeluasan kira-kira 40 x 60 kaki persegi itu sedang terbakar.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.48 petang oleh 13 anggota bomba.

Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan terbakar bagi memastikan keadaan sekitar selamat.

Operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam. -SabahNewsToday