Pilih Bahasa

Rumah peserta Mesej Timpangoh, Tukar dan Mansalu dibina tahun ini

PENAMPANG: Kemudahan prasarana asas termasuk rumah, bekalan air dan elektrik untuk peserta di tiga Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) Pertanian, di Penampang, Pitas dan Ranau akan dibina tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata tiga Mesej itu ialah Mesej Timpangoh Laut Penampang, Mesej Tukar Pitas dan Mesej Mansalu Ranau yang ditanam dengan getah dan kelapa sawit.

Ewon (tengah) bersama Jenifer (dua kanan), Fredian (tiga kiri), Henry (dua kiri) dan Julkiflie (kiri) berbincang mengenai pembinaan rumah peserta Mesej Timpangoh Laut Penampang. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Sehubungan itu, katanya beliau akan melawat kesemua Mesej itu pada bulan ini untuk melihat kesesuaian tapak seterusnya menentukan bilangan peserta dan rumah yang perlu dibina di kawasan itu.

“Pada hari ini KPLB Sabah bersama Pejabat Daerah Penampang, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan beberapa jabatan terlibat dengan pembangunan Mesej mengadakan lawatan ke Mesej Timpangoh Laut untuk menentukan kesesuaian tapak bagi pembinaan rumah para peserta Mesej di sini.

“Saya berharap selepas pembinaan rumah itu siap kelak, mereka boleh menghuni seterusnya memperolehi sumber pendapatan di kawasan Mesej sama ada yang ditanam dengan getah atau kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Mesej Timpangoh Laut, Penampang, hari ini.

Ewon berharap pembinaan rumah dan penyediaan kemudahan asas lain untuk peserta Mesej dapat disiapkan tahun ini juga.

“Kita akan melawat kesemua perkampungan Mesej berkenaan pada bulan ini bagi memastikan proses perolehan atau pelantikan kontraktor yang akan membina rumah dan kemudahan asas ke kawasan Mesej dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya bulan Ogos ini.

Ewon (tengah) besama pegawai LIGS dan Pejabat Daerah Penampang ketika melawat Mesej Timpangoh Laut Penampang. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya yakin pembinaan rumah untuk ketiga-tiga perkampungan Mesej itu dapat disiapkan tahun ini kerana kita ada mekanisme sendiri untuk memastikannya siap, antaranya pembinaan 16 buah rumah di Mesej Timpangoh ini akan dilaksanakan oleh beberapa kontraktor yang dilantik supaya dapat disiapkan dengan segera.

“Saya berharap rumah itu siap tahun ini supaya peserta boleh masuk awal tahun depan,” katanya.

Dari segi pemilihan peserta, Ewon berkata bagi Mesej Timpangoh, satu jawatankuasa ditubuhkan di peringkat daerah Penampang untuk menilai dan menapis peserta.

“Memang ramai penduduk kampung yang tersenarai dalam e-kasih di Kampung Timpangoh dan kawasan berhampiran untuk kita bantu tetapi oleh kerana hanya 16 peserta yang akan dipilih maka jawatankuasa itu akan menilai dan menjalankan satu proses tapisan melalui temuduga untuk memastikan mereka yang betul-betul layak dan mahu berpindah ke kawasan Mesej yang dipilih.

“Bilangan peserta itu juga berdasarkan kesesuaian kawasan Mesej Timpangoh yang agak curam dan keluasan tanaman getah hanya meliputi seluas 70 hektar,” katanya.

Tambahnya setiap peserta dijangka menjana pendapatan minimum RM1,700 sebulan iaitu 20 hari bekerja berasaskan harga getah kentalan pada masa kini iaitu sekitar RM2.63.

Jelasnya dengan sokongan dan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD), KPLB juga bercadang untuk memperkenalkan program aktiviti ekonomi tambahan di kawasan Mesej sebagai pendapatan tambahan mereka.

Turut hadir Adun Moyog Jenifer Lasimbang, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Penampang Henry Idol dan Pegawai Penguasa LIGS Penampang Julkifle Sahimin. -SabahNewsToday