Pilih Bahasa

Rumah pusaka 60 tahun musnah sekelip mata

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Nasib enam sekeluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga lain apabila usaha lebih 60 tahun membina rumah sedikit demi sedikit hasil titik peluh keluarganya, musnah terbakar dalam sekelip mata.

Pemilik rumah, James Juanis Majamul, 51, berkata rumah pusaka mereka itu terbakar ketika beliau dan keluarganya sedang sibuk membersihkan kebun buah-buahan di Kampung Babagon yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya.

James bersana anak-anaknya ketika berada di rumah mereka yang musnah terbakar. Gambar SNT/Alfred Petrus

Sementara itu, bapanya pula yang berusia 90 tahun berada di rumah berkenaan di Kampung Boligo-Kolopis pada Ahad.

Lalu, James mendapat tahu kejadian itu selepas dihubungi jiran yang memaklumkan rumahnya sedang terbakar sebelum mereka sekeluarga bergegas pulang.

“Sebaik tiba, api sudah memusnahkan hampir keseluruhan rumah dan saya tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting serta barangan berharga.

“Rumah pusaka ini menyimpan banyak memori keluarga kami.

“Dugaan ini sangat berat, namun saya bersyukur kerana bapa saya yang sudah lanjut usia selamat dari kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya beliau sangat buntu ketika ini dan berharap terdapat pihak yang tampil untuk membantu menghulurkan sumbangan bagi memudahkannya mendirikan semula rumah untuk mereka sekeluarga.

Tambahnya beliau dan keluarganya kini terpaksa bersesak di rumah adiknya kerana sudah tidak mempunyai pilihan lain.

“Semua barang-barang musnah termasuk peralatan sekolah anak-anak saya yang berusia 13, 11 dan lapan tahun,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.06 petang.

Menurutnya sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Api berjaya dikawal pada pukul 4.25 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.25 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1212 3410 0010 5713 atau menghubungi James ditalian 017-8609737. -SabahNewsToday