Pilih Bahasa

Rumah terbuka erat perpaduan antara kaum: Japlin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Acara rumah terbuka terutamanya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disertai masyarakat berbilang bangsa merupakan titik pertemuan bagi masyarakat majmuk di Malaysia untuk mencapai erti perpaduan sebenar,

Konsep rumah terbuka sempena musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri boleh merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat selain memantapkan perpaduan dan muhibah di kalangan penduduk berbilang kaum.

Japlin (tiga dari kiri) bersama Hajiji (tengah) dan Jeremy yang hadir ke rumah terbuka beliau di Taman BDC Kolombong sempena Aidilfitri. – Gambar SNT/Ihsan Dun Usukan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata tradisi rumah terbuka secara tidak langsung merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat sekaligus memperkukuhkan perpaduan kaum melalui budaya kunjung-mengunjung.

Beliau berkata, rakyat berbilang kaum di negeri ini bebas mengamalkan cara hidup tanpa sebarang diskriminasi termasuk menganjurkan sambutan sempena hari kebesaran sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Ini kerana kunjungan orang ramai ke majlis rumah terbuka anjuran pemimpin sempena musim perayaan dapat meningkatkan lagi kemesraan antara rakyat dengan pemimpin,” katanya ketika ditemui semasa Rumah Terbuka beliau di Taman BDC Kolombong semalam.

Hadir sama Ketua Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman, mantan adun Kedamaian Jeremy Malajad yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud.

Japlin yang juga Ketua Penaja Bersatu Bahagian Kota Belud berkata kestabilan dan kemakmuran dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama etnik negara ini disambut bersama.

Jelasnya amalan saling kunjung mengunjung terutama pada musim perayaan mampu mengeratkan perpaduan serta mengukuhkan perasaan kekitaan dalam kalangan masyarakat. – SabahNewsToday