Pilih Bahasa

Rumah terbuka pupuk semangat kekitaan: Azizah

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Amalan mengadakan rumah terbuka dilihat dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan selain dapat mengeratkan silaturahim antara sesama.

Ia sudah menjadi amalan rakyat negar ini khususnya yang mana tradisi atau amalan rumah terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Azizah (kirir) merakam gambar kenangan bersama Penaung Usia Sabah Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah (tiga kanan) dan tetamu lain yang hadir ke majlis tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata amalan rumah terbuka menjadi satu platform untuk meraikan rakan dan taulan dengan mengunjung antara satu sama lain.
 
“Sambutan Aidilfitri sewajarnya mampu menjadi jambatan bagi mengeratkan lagi hubungan siratulrahim serta peluang bermaaf-maafan

“Secara tidak langsung, ia menjadi teras kepada keunikan kita masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
 
“Sambutan hari raya perlu dimanfaatkan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan saling bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara.

“Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk orang ramai berkumpul bersama keluarga tercinta,” katanya pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Beaufort di Jalan Kurol Melangi, Kampung Likas, pada Ahad.

Suami Ahli Parlimen Beaufort Paiman Karim menyampaikan duit raya kepada pelajar tahfiz yang datang berkunjung ke majlis berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pada sambutan tersebut kira-kira lebih 600 orang hadir rumah terbuka itu.

Azizah berkata amalan rumah terbuka sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka.

“Amalan ini sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di negeri ini,” tambahnya.
 
Azizah yang juga Ketua Penyelaras Srikandi Bersatu Sabah berkata sambutan Aidilfitri adalah salah satu daripada wadah terbaik untuk mempamerkan semangat persefahaman, keprihatinan, tolak ansur dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia dalam konsep Malaysia Baharu.
 
“Tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum.

“Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat negara ini.

“Malah, suasana muhibah dapat dirasakan melalui kunjungan sahabat handai, kaum keluarga serta rakan-rakan seperjuangan,” katanya.
 
Tambah beliau perpaduan rakyat di negeri ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran dengan lebih mudah, manakala rumah terbuka wajar diteruskan mempunyai kebaikan tersendiri selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, jiran dan keluarga.
 
Hadir sama Penaung Wanita Usia Sabah Toh Puan Hajah Siti Rukaiyah Datuk Panglima Abdullah, mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak, mantan Pengarah Jasa Sabah Datuk Abdul Manaf Lakariba serta mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sabah Datuk Haji Mohd Dahali Haji Matsin. -SabahNewsToday