Pilih Bahasa

RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA PERINGKAT SABAH MERIAH DENGAN KEHADIRAN 7,000 PENGUNJUNG

Oleh Chris Maskilone

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan pengunjung sejurus tiba bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah meriah dengan kehadiran pelbagai kaum yang menggambarkan kepelbagaian dalam kesatuan.

Seramai 7,000 pengunjung dianggarkan hadir di Rumah Terbuka yang diadakan di Dewan Hakka, Tanjung Lipat di sini pada hari pertama Tahun Baharu Cina.

Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan kenamaan lain menggaul Yee Sang ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Berbagai acara seperti nyanyian dan tarian singa turut dipersembahkan sebagai hiburan kepada para pengunjung.

Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama kenamaan lain merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu Ketua Menteri melahirkan keyakinan bahawa kerjasama daripada rakyat Sabah termasuk pelabur ke negeri ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi Sabah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan bagi memastikan ekonomi di negeri ini terus berkembang serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Mohd Shafie bersama Juhar menyampaikan angpow kepada kanak-kanak yatim piatu. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

“Saya yakin bukan hanya Kerajaan Negeri, bahkan pelabur yang ada ini boleh membantu rakyat negeri ini kerana kita perlu pembangunan di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka teresebut.

Mohd Shafie berkata walaupun negara menghadapi ekonomi yang mencabar namun beliau optimis ekonomi Sabah antara negeri yang berada dalam keadaan stabil.

Mohd Shafie bersalaman dengan warga emas selepas menyampaikan angpow kepada mereka. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Dalam usaha untuk meningkatkan lebih ramai pelabur di Sabah, beliau akan mengadakan lawatan ke beberapa buah negara antaranya China, Jepun dan Eropah selain menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Jika ada pelaburan maka banyaklah pekerjaan yang bagi rakyat,” katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah Tan Sri T C Goh dan Datuk Susan Wong menyambut ketibaan Mohd Shafie di Dewan Hakka. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

“Apabila rakyat mempunyai pekerjaan, mereka dapat duit, kerajaan tidak perlu beri bantuan sara hidup (BSH) dan saya yakin ini dapat kita jayakan bersama,” katanya.

Mengenai sambutan rumah terbuka itu, Mohd Shafie berkata perayaan itu menjadi landasan untuk mengeratkan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat di Sabah.

Tun Juhar (tengah) bersama Mohd Shafie dan tetamu jemputan lain mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada para hadirin. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Manakala perbezaan dalam kepelbagaian budaya itu menjadikan masyarakat negeri ini lebih mengenali antara satu sama lain.

“Sesebuah negeri tidak akan membangun jika sentiasa menimbulkan masalah berkaitan kaum dan agama, sebaliknya kita bercerita bagaimana mahu membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Liew berkata Sabah telah menjadi destinasi popular kepada pelancong apabila tibanya cuti panjang seperti Tahun Baharu Cina.

“Kami berharap agar mereka menikmati pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai negeri kita melalui konsep rumah terbuka ini,” katanya.-SabahNewsToday