Pilih Bahasa

Rundingan MA63 tetap capai kemajuan meskipun tiada pengumuman pada Hari Malaysia

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu beberapa kemajuan telah dicapai dalam rundingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan sebelum ini seperti pengurusan hutan dan tanah serta urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan.

Menurut beliau rundingan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet yang dibentuk untuk menyemak pelaksanaan MA63 akan diteruskan meskipun belum mencapai kata putus dalam perkara berkaitan royalti minyak dan status rakan sekutu Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri bersalaman dengan para hadirin dalam majlis pelancaran Logo TMM2020 pesawat Maswings hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Beberapa inisiatif telah dipersetujui dalam rundingan itu dan isu royalti minyak adalah antara perkara yang masih diperingkat perbincangan, ini adalah usaha yang kita lakukan.

“Jawatankuasa Khas Kabinet akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan saya akan membangkitkan isu ini (royalti minyak dan status rakan sekutu). Saya faham persoalan ini ditimbulkan (kerana ramai yang menanti pengumuman) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed semasa sambutan Hari Malaysia lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Logo TMM2020 pada pesawat Maswings dan Pakej Percutian Terbaik Sabah 2019/2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan negeri, Datuk Frankie Poon.

Artis budaya JKKN Sabah bersama kakitangan syarikat pelancongan merakamkan gambar dihadapan pesawat MASwings jenis ATR 72-500 yang menggunakan logo promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Shafie berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pihak media mengenai kekecewaan netizen di laman sosial selepas tiada `khabar gembira’ diumumkan oleh Perdana Menteri semasa ucapan sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Sebelum ini netizen dikatakan agak teruja menantikan kejutan serta berita gembira daripada ucapan Tun Mahathir pada sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Mengenai pertemuan dengan Tun Mahathir baru-baru ini di Kota Kinabalu, beliau berkata perbincangan yang diadakan menyentuh berkaitan langkah-langkah dan usaha untuk membangunkan negeri itu kerana Sabah mempunyai sumber asli yang boleh dimanfaatkan bersama.

Berhubung isu jerebu, Mohd Shafie berkata keadaan di Sabah masih terkawal ketika ini walaupun beberapa daerah sebelum ini menunjukkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Meteorologi Sabah dan kebiasaannya kita akan lihat dari segi status jerebu kalau IPU catat 300 ke 400 kita akan membuat pembenihan awam tapi kita tidak sampai tahap itu lagi,” katanya.

Menurut beliau indeks pencemaran udara di Sabah telah menunjukkan penurunan namun langkah berjaga-jaga akan terus dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk aspek kesihatan rakyat. – SabahNewsToday