Pilih Bahasa

RUU pindaan Perlembagaan dibentangkan selewat-lewatnya minggu depan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Rang undang-undang pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia kini siap sedia untuk dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata RUU tersebut hanya menunggu masa untuk dibentangkan dan beliau menjangkakan ia akan berlaku pada minggu ini atau selewatnya minggu depan.

Liew (dua kanan) bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga kanan) memerhati Tun Juhar Mahiruddin menurunkan tandatangan diatas plak perasmian Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. Turut kelihatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (kiri) dan Ketua Hakim Borneo Datuk David Wong Dak Wah (kanan). Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam pada itu, beliau menekankan betapa pentingnya pindaan terhadap Perkara 1(2) ini dilakukan terlebih dahulu sebelum lain-lain tindakan diambil.

Pindaan ini akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia, katanya.

Ditemui pemberita selepas menghadiri perasmian Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pagi tadi, Liew berkata ia merupakan satu langkah yang begitu besar demi mencapai kedudukan setara antara kedua negeri Borneo dan Persekutuan Malaya dalam Malaysia.

“Kita mahu menjadikan Sabah dan Sarawak rakan kongsi Persekutuan Malaya. Yakni meletakkan Sabah kembali kepada kedudukan asalnya sebelum 1976,” katanya.

Pada tahun 1976, Parlimen meluluskan pindaan Perkara 1(2) yang menurunkan status Sabah dan Sarawak sebagai salah satu daripada 13 negeri dalam Malaysia.

“Daripada ini kita akan bergerak ke hadapan. Lain pindaan boleh dibuat kemudian dan ada antara pindaan tersebut merupakan hal berbangkit dan tidak semestinya dibentangkan di Parlimen.

“Ia boleh dibuat secara pentadbiran. Namun bagi saya ini (pindaan kepada Perkara 1(2)) adalah yang paling utama sekali dan ianya memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan baru-baru ini bahawa pindaan kepada Perkara 1(2) perlu ditangguh bagi mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

Dr Jeffrey juga mendakwa pindaan kepada beberapa perkara lain seperti Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang perlu dilakukan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama.

Walaubagaimanapun, Liew berkata Perkara 160 yang dinyatakan oleh Dr Jeffrey tidak relevan dan tidak terpakai dalam hal ini.

“Kita harus faham definisi Persekutuan dalam Perkara 160 bukan merujuk kepada Persekutuan Malaysia (tetapi) merujuk kepada Persekutuan Malaya yang dibuat pada tahun 1957 dan sebelum Malaysia terbentuk,” katanya.

Ia hanya terpakai sebelum Hari Merdeka iaitu 31 Ogos 1957, tambahnya lagi.

Mengenai dakwaan Dr Jeffrey cadangan pindaan tersebut diselubungi rahsia, Liew berkata sememangnya semua memorandum kertas Kabinet adalah disenaraikan sebagai ‘Rahsia’.

“Ianya adalah dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh diumumkan selagi ia belum dibentangkan bagi bacaan pertama,” katanya.

Menurutnya, beliau akan bertemu dengan semua ahli Parlimen termasuk dari pembangkang dan Gabungan Parti Sarawak dalam mesyuarat “pre-council” dimana mereka boleh bertanya apa jua mengenai perkara itu.

Liew berkata bagi mereka yang ingin menyuarakan pendapat bolehlah menyampaikannya melalui ahli Parlimen kawasan masing-masing.-SabahNewsToday