Pilih Bahasa

Sabah akan laksana Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030: Madius

MATUNGGONG: Kerajaan Sabah akan meneladani Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan negeri ini.

“Saya telah menghubungi beberapa pihak di Kuala Lumpur, dan mereka sangat setuju untuk membantu kita kenalpasti cara terbaik melaksanakan DKN di Sabah,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius menerima cenderamata selepas merasmikan acara Kaamatan Upko Matunggong hari ini. Gambar SNT/Ihsan Upko

“Kita sangat serius menjadikan industri sebagai salah satu tonggak kekukuhan ekonomi Sabah. Justeru, antara lain usaha, kita adakan One District One Industry.

“Saya menggesa setiap kita mendalami dan menerapkan budaya keusahawanan. Saya yakin DKN itu boleh menjadi panduan Sabah untuk terus progresif,” tambah beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Madius telah menghadiri majlis pelancaran DKN 2030 dengan tema Negara Keusahawanan Unggul 2030 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Madius dipakaikan ‘sigal’ sejurus tiba di Matunggong pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Upko

“Saya teruja dengan pelbagai perkara yang dimuktamadkan dalam DKN itu. Pada saat itu juga saya hubungi Akademi Sains Malaysia dan memohon mereka membantu Sabah,” kata beliau.

Madius yang juga presiden Upko berkata DKN akan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan, sekali gus membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan.

DKN juga akan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan; berfikiran global dan kompetitif, selain mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS), serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Madius bersama Padis (kiri) merasmikan Kaamatan yang dihadiri lebih 800 orang itu. Gambar SNT/Ihsan Upko

“Saya akan mengadakan perbincangan susulan dengan rakan-rakan dalam Kabinet. Semoga usaha kita ini beroleh sokongan padu daripada semua dan beroleh berkat,” kata beliau bila ditemui selepas merasmikan Kaamatan Upko Matunggong hari ini.

Beliau diminta mengulas isu DKN 2030 yang beliau sentuh dalam ucapan perasmiannya.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Bahagian Upko Kota Marudu, Padis Majingkim berkata memang masih wajar mereka mengadakan pesta itu kerana padi masih dalam musim menuai di sini.

“Kita mensyukuri segala tuaian kita sejak setahun lalu. Kita juga sangat gembira kerana pmimpin Nombor Dua Sabah, Presiden kami sudi hadir bersama kami. Kotobian kepada semua,” tambah beliau.-SabahNewsToday

1 SIMBOL KEPIMPINAN …
2 KOTOBIAN KAAMATAN …