Pilih Bahasa

Sabah bakal nikmati penggunaan biodiesel B20 Jun 2020

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Sabah bakal menjadi negeri pertama yang menggunakan biodiesel B20 iaitu adunan 20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus biodiesel petroleum menjelang Jun tahun depan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata kementeriannya kini sedang menjalankan perbincangan bersama beberapa syarikat petroleum bagi menghasilkan biodiesel B20.

Teresa Kok. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Saya sarankan syarikat di negeri ini menjadi negeri pertama menggunakan biodiesel B20 kerana ramai pengguna di sini memiliki kereta yang menggunakan minyak diesel.

“Jika B20 dilaksanakan di Sabah, kita akan lebih banyak menggunakan minyak sawit dan menjadikan harga minyak sawit di negeri ini meningkat. Ia dijangka dapat dinikmati pada Jun tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Sabah, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), N.Balu, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya turut menjalankan kajian di setiap negeri supaya impian untuk masyarakat menggunakan biodiesel B20 akan tercapai.

“Kita juga akan menjalankan kajian setiap negeri untuk mengetahui berapa tempoh di Malaysia untuk dinaiktaraf untuk mendapatkan B20 ke atas.

“Kita sudah banyak jalankan sesi dialog, dan ini semua sedang diusahakan. Ia bukannya hanya cakap kosong sahaja,” katanya. –SabahNewsToday