Pilih Bahasa

Sabah belum benarkan solat Jumaat hari ini

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sabah masih belum membenarkan solat berjemaah termasuklah solat Jumaat, hari ini.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata penangguhan berkenaan turut membabitkan solat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar. Gambar Fail SNT

“Kita masih meneruskan penangguhan ini sehingga 26 Mei hadapan.

“Setakat ini, Sabah tetap tidak membenarkan sebarang aktiviti menunaikan solat secara berjemaah.

“Langkah ini diambil bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah masjid mahupun surau.

“Ia lebih membimbang dengan wujudkan kluster baharu dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkaitan kebenaran mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu selain solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri.

Terdahulu, Zulkifli menyatakan solat Jumaat sudah boleh dilaksanakan bermula hari ini manakala solat lain secara berjemaah boleh dibuat secara berperingkat. -SabahNewsToday