Pilih Bahasa

Sabah berada di landasan betul di bawah pimpinan Shafie Apdal

Oleh Sabah News Today

MEMBAKUT: Sabah sudah berada di landasan yang betul di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, “Datuk Shafie sangat terbuka mendengar ahli-ahli pimpinannya bukan hanya berkenaan dengan masalah dan keperluan rakyat, bukan hanya keperluan kementerian masing-masing, tetapi juga hak-hak Sabah, pembangunan ekonomi dan urustadbir negeri.”

Datuk Ewon Benedick berucap dalam program bersama rakyat di Kampung Matujung, Membakut. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau menjelaskan antara wawasan ekonomi Ketua Menteri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dengan menghentikan eksport kayu balak ke negara luar bagi membolehkan kilang-kilang perabot dan industri hiliran kayu dibangunkan di Sabah.

“Kalau sebelum ini kayu-kayu balak dieksport ke kilang-kilang perabot di Jepun, maka rakyat Jepun yang mendapat pekerjaan. Tetapi kini eksport kayu balak sudah dihentikan dan kilang-kilang perabot sedang dibangunkan di Sabah, maka yang mendapat pekerjaan adalah rakyat Sabah,” katanya.

Begitu juga dengan industri lain seperti sumber asli, gas dan minyak di mana Ketua Menteri telah menyatakan wawasan dan halatuju negeri.

Ewon menyatakan pembangunan ekonomi dalam negeri di Sabah sangat penting untuk menjana hasil negeri.

“Tahun lepas, Kementerian saya diperuntukkan RM11.9 juta untuk pembangunan infrastruktur asas di kampung-kampung di luar bandar. Tetapi jumlah permohonan yang kami terima mencecah RM60 juta. Saya dan para pegawai juga banyak menjelajah ke seluruh Sabah dan keperluan infrastruktur asas ternyata masih begitu banyak.

“Dengan halatuju Ketua Menteri sekarang, saya yakin akan dapat menjana hasil negeri yang lebih besar dan beliau boleh memberikan peruntukan yang lebih besar kepada setiap Kementerian untuk membantu kampung-kampung kita,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Upko menyatakan demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Dengan Ahli-Ahli Upko Membakut sempena pilihanraya kecil Kimanis.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang, Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rothman Isli, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dan Wakil-Wakil Rakyat Upko.

Ewon turut menambah bahawa Shafie juga telah banyak kali menyatakan komitmen bahawa beliau merupakan Ketua Menteri kepada semua rakyat Sabah yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Antara bukti keprihatinan beliau adalah meningkatkan peruntukan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah persendirian bukan Islam sebanyak RM8 juta daripada RM35 juta pada tahun 2019 kepada RM43 juta pada tahun 2020 selepas mendengar cadangan-cadangan kami di Kabinet,” tambah beliau.

Ewon menambah bahawa Shafie juga telah memimpin perjuangan hak-hak Sabah sehingga mencapai persetujuan penyelesaian kepada 17 perkara walaupun baru memimpin Kerajaan Sabah dalam tempoh satu tahun tujuh bulan.

“Sebab itu saya menyatakan perasaan sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan pimpinan Sabah di bawah Shafie. Saya berharap rakyat Kimanis juga berkongsi kebanggaan ini dan turut bersama-sama dengan beliau untuk menguruskan masa depan negeri tercinta kita ini dengan memberikan kemenangan kepada Datuk Karim Bujang dalam pilihanraya kecil ini,” tambah beliau.

Ewon turut menyatakan rasa sinis beliau dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi yang menyatakan akan melaksanakan Perjanjian Malaysia sekiranya Barisan Nasional kembali memerintah.

“Kenapa tidak laksanakan semasa menjadi Kerajaan sebelum ini walaupun rakyat Sabah termasuk Upko menyatakan desakan selama ini? Anda sudah diberikan peluang, tapi tidak melaksanakan keinginan rakyat Sabah. Berbanding Kerajaan yang baharu memerintah satu tahun tujuh bulan, kita sudah mencapai 17 penyelesaian.

“Bagi saya, tidak ada lagi keperluan untuk memberi peluang kepada Umno dan BN menjadi pemerintah kerana Sabah sudah berada di landasan yang betul di bawah pimpinan Datuk Shafie Apdal,” kata beliau.-SabahNewsToday