Pilih Bahasa

Skuad Tambadau Sabah berazam bangkit semula selepas dua kekalahan berturut-turut

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pertemuan menentang UiTM FC di Stadium Likas malam esok cukup penting bagi mengembalikan keyakinan skuad Tambadau Sabah selepas dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata semangat para pemain sedikit merundum berikutan kekalahan 0-1 kepada Kelantan United dalam pusingan kedua Piala FA dan selepas itu 1-2 kepada Selangor United dalam saingan liga.

Jelius Ating. Gambar Fail SNT

“Memang saya akui, dua kekalahan berturut-turut telah memberi sedikit kesan terhadap semangat pasukan, namun, saya tidak pernah berhenti untuk memberikan mereka (pemain) kata-kata semangat.

“Perlawanan esok saya anggap penting kerana disamping mahu mengukuhkan kedudukan kita dalam liga, kita juga mahu mengembalikan keyakinan kita,” katanya.

Namun dalam mencari rentak mereka kembali, Skuad Tambadau Sabah terpaksa bekerja lebih keras malam esok disebabkan ketiadaan empat pemain daripada kesebelasan utama.

“Kita akan kehilangan khidmat ketua pasukan iaitu Rawilson (Batuil) dan Azzizan (Nordin) kerana terpaksa menjalani penggantungan perlawanan selepas mereka mengumpul jumlah tiga kad kuning sebelum ini.

“Selain itu, Maxsius (Musa) juga mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan selain Sabri (Sahar) yang kita sedia maklum mengalami kecederaan teruk dan mungkin akan terlepas aksi sehingga habis musim.

“Pengganti Sabri sebelum ini iaitu Ricco (Nigel Milus) juga belum pasti dapat diturunkan atau tidak kerana turut cedera,” katanya.

Walaupun kehilangan beberapa tonggak utama, Jelius tetap yakin pemain gantian yang akan beraksi esok mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Ini juga sebenarnya peluang bagi pemain-pemain lain untuk membuktikan yang mereka juga layak beraksi sebagai kesebelasan utama dan saya harap mereka akan beraksi baik esok,” katanya.

Maffry Balang dijangka mengambil tempat Rawilson di bahagian pertahanan bersama dengan Park Taesu, Randy Baruh dan Dendy Lowa membantu penjaga gawang Rozaimie Rohim.

Bahagian midfield pula akan dikemudi oleh Luka Milunovic dengan dibantu tiga pemain yang menggantikan tempat Azzizan, Maxsius, serta Ricco iaitu Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar.

Sementara dua penyerang import iaitu Luis Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic kekal dengan tugas memburu gol untuk Sabah.

Pengurus pasukan, Henry Saimpon pula menyatakan semangat Stadium Likas mampu membantu kembalikan rentak kemenangan Tambadau Sabah apabila melayani kunjungan UiTM FC.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

Menjangkakan ia perlawanan sengit,  Henry berkata semangat Stadium Likas dengan kehadiran ramai penyokong akan membantu menyemarakkan semangat juang pemain memburu mata penuh yang sangat diperlukan.

Hanya dipisahkan satu mata di tangga kedua dan ketiga mendesak kedua-dua pasukan memburu tiga mata penuh sekaligus memulihkan keyakinan selepas tewas perlawanan terakhirr masing-masing minggu lepas.

“Esok kita berhadapan dengan situasi menang atau dipintas lawan. Sebab itu ia adalah perlawanan yang perlu kita menang terutama kita bermain di gelanggang sendiri. Tentunya gelanggang sendiri ini memberi kelebihan besar jika dipenuhi dengan penyokong.

“Pasukan kita dalam keadaan baik tetapi ada beberapa pemain utama tidak dapat disenaraikan kerana kecederaan dan penggantungan permainan.

“Bagaimanapun  saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating juga sudah ada rencana terbaik untuk pasukan memburu kemenangan. Oleh itu marilah datang beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pasukan,” kata Henry.-SabahNewsToday