Pilih Bahasa

Sabah berkongsi mata dengan UiTM FC

Oleh Chris Maskilone

Paunovic (dua kanan) meraikan gol pertama perlawanan. Gambar SNT/Ihsan Safa

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah hanya mampu seri 1-1 dengan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas malam ini.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan skuad Tambadau kelihatan kurang selesa bermain tanpa empat pemain barisan permulaan.

Ketua pasukan dan tunggak pertahanan, Rawilson Batuil serta pemain tengah Azizan Nordin tidak diturunkan kerana sedang menjalani penggantungan perlawanan selepas mereka mengumpul jumlah tiga kad kuning.

Manakala, pemain sayap, Maxsius Musa dan pakar tendangan sudut Sabri Sahar direhatkan kerana mengalami kecederaan.

Peluang menarik Sabah hadir pada minit ke-19 menerusi cubaan pemain pertahanan Park Taesu yang mara ke dalam kotak penalti UiTM FC selepas mendapat lorongan ‘back heel’ daripada Luiz Carlos Junior tetapi berjaya ditampan penjaga gol UiTM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris.

Taesu mendapat peluang kedua apabila bola melantun balik kepadanya namun sepakannya melambung tinggi.

Selepas itu pemain barisan depan skuad Tambadau Sabah Junior, Luka Milunovic dan Rodoljub Paunovic bekerja keras menembusi pertahanan lawan tanpa sebarang hasil.

Luiz Carlos Junior (tengah) menanti hantaran tendangan sudut. Gambar SNT/Ihsan Safa

Lima minit terakhir separuh masa pertama pula, Junior mendapat dua peluang namun kedua-dua cubaannya tepat ke arah Muhamad Nor Haziq.

Pada babak kedua Sabah bertukar menjadi Tambadau garang melancarkan serangan berbisa.

Penyokong skuad Tambadau bersorak gembira pada minit ke-49 apabila Paunovic berjaya menjaringkan gol melalui satu tandukan hasil hantaran lintang dari sebelah kanan daripada Dendy Lowa.

Paunovic yang tidak dikawal dengan mudah menewaskan Muhamad Nor Haziq untuk membolehkan Sabah mendahului 1-0.

Minit ke-55, Milunovic pula mendapat peluang melalui satu gerakan cantik namun tendangan kencangnya terkena kaki pertahanan UiTM FC dan bola melantun tinggi terkena palang gol.

Milunovic sekali lagi mendapat peluang menambah jaringan Sabah namun tendangan percuma dari atas kotak penalti UiTM FC pada minit ke-68 berjaya ditepis keluar oleh Muhamad Nor Haziq.

Pada minit ke-79, penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy nyaris menghukum pertahanan Sabah yang leka namun tendangan kencangnya diselamatkan oleh tiang gol sebelah kanan Sabah.

Bola itu melantun balik ke dalam permainan dan disambar oleh seorang lagi penyerang UiTM FC, Mohammad Amer Azahar tetapi kali ini penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim berjaya menumbuk keluar bola.

Ketua pasukan Sabah, Mafry Balang (kiri) dan pertahanan, Dendy Lowa (tengah) cuba menghalang ketua pasukan UiTM FC, Nur Areff Kamarudin daripada mendapat bola dalam perlawanan di Stadium Likas malam tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

Empat minit kemudian, pengadil Zulkifli Ahmad menghadiahkan tendangan percuma kepada UiTM FC tepat di atas kotak penalti Sabah.

Mendy tampil mengambil tanggungjawab dan bijak memperdaya benteng Sabah dengan membuat sepakan rendah sahaja menuju ke sebelah kiri dan gagal diselamatkan oleh Rozaimie untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Dengan hanya berbaki beberapa minit lagi perlawanan, Junior berpeluang mencipta kemenangan bagi Sabah melalui tendangan percuma sekali lagi di atas kotak penalti UiTM FC.

Namun sekali lagi Muhamad Nor Haziq bertindak cemerlang menidakkan cubaan Junior yang menuju tepat ke arah penjuru sebelah kiri gawang.

Kesimpulannya, skuad bimbingan Jelius Ating malam tadi mendapat banyak peluang namun nasib tidak menyebelahi mereka dan ada yang disia-siakan.

Minggu ini kedudukan liga premier tidak berubah dengan pasukan JDT II terus mendahului dengan 18 mata daripada lapan perlawanan.

Sementara skuad Tambadau Sabah masih di tangga kedua dengan 14 mata daripada lapan perlawanan.

UiTM FC juga kekal tangga ketiga, ketinggalan satu mata dengan Sabah tetapi masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.-SabahNewsToday