Pilih Bahasa

Sabah berpeluang muncul “Rotterdam Timur” dengan tambatan kapal kontena

LAHAD DATU, 5 Sept — Tambatan kapal kontena 17224 DWT MV Danum 172 buat julung kali di Terminal Kontena Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di sini hari ini memberi harapan kepada Sabah untuk muncul sebagai “Rotterdam Timur.”

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata terminal kontena POIC akan memacu Sabah ke tahap yang lebih tinggi untuk menjadi negara perindustrian menjelang 2030.

Madius Tangau. – Gambar fail SNT

“Kerajaan Sabah telah bersetuju untuk POIC Lahad Datu menjadi pelabuhan sepenuhnya pada 23 Oktober 2018 tetapi terdapat kelewatan terutama disebabkan birokrasi dan bantahan dari dalam kerajaan sendiri.

“Ini sememangnya langkah kecil untuk Lahad Datu tetapi satu anjakan besar untuk Sabah, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kapal kontena itu ialah milik Shin Yang Shipping Corporation (SYSCorp), sebuah syarikat perkapalan dan logistik yang berpangkalan di Sarawak. kapal itu membawa masuk sembilan kontena biji koko dan membawa keluar sembilan kontena baja.

Madius berkata Kementerian Perdagangan dan Industri menjangkakan semua keperluan yang diperlukan oleh POIC terutama lesen tempat pendaratan yang sah yang dijanjikan oleh Kementerian Kewangan di Putrajaya minggu lepas, akan disediakan secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi POIC, Datuk Pang Teck Wai berkata, acara hari ini adalah pengesahan dari syarikat perkapalan terbesar sambil mengesahkan bahawa pelabuhan itu telah menghubungkan semua laluan dalam perkapalan dan logistik yang diperlukan untuk perindustrian.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SYSCorp, Ting Hien Liong, berkata syarikatnya berbangga menjadi yang pertama singgah di Terminal Kontena POIC.

POIC Lahad Datu, sebuah syarikat milik kerajaan negeri, ditubuhkan pada  2005 untuk menerajui industri hiliran berasaskan minyak sawit, dan telah mempromosikan pelabuhannya sebagai hab logistik yang memanfaatkan pertumbuhan perkapalan global menerusi laluan perkapalan Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu.

— BERNAMA