Pilih Bahasa

Sabah berpotensi jadi pengeluar utama makanan berasaskan daging 2030

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Daud (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kambing Jantan Sado. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Sabah diyakini berpotensi menjadi pengeluar makanan berasaskan daging pada tahun 2030 dengan mensasarkan pencapaian pengeluaran daging sebanyak 60 peratus kadar sara diri (SSL).

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Daud Yusof berkata untuk mencapai sasaran itu pihak pengurusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah perlu berganding bahu dalam memacu ke arah matlamat yang ingin dituju.

“Sebenarnya banyak usaha yang dibuat oleh bahagian pengurusan terutama pengarah dan kakitangannya dalam merancang untuk kita menjadikan Sabah sebagai sebuah pengeluaran makanan berasaskan daging pada tahun 2030.

Daud memberikan makanan kepada lembu yang diternak di Pusat Nukleus Lembu Brahman. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita mahu capai 60 peratus sara diri pengeluaran daging tercapai dan kita punya masa yang panjang lagi namun usaha itu perlu dilakukan bermula daripada sekarang,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Ladang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah di Pusat Nukleus Lembu Brahman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah turut memerlukan kajian dan perancangan teliti bagi memastikan ternakan baka kambing sabian, jan boer dan baka lembu spesies tambadau tidak mengalami kepupusan serta dapat ditingkatkan pengeluarannya.

Daud (lima dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Sabah, Peter A.K Lee (empat dari kiri) berserta rombongan melawat Ladang Nukleus Lembu Brahman Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Dua baka kambing ini perlu terus dijenamakan sebagai pengeluaran Sabah kerana mempunyai potensi terbaik untuk dikembangkan manakala lembu tambadau pula yang kini diangkat sebagai maskot bola sepak negeri perlu terus ditingkatkan jumlahnya bukan sahaja untuk pengeluaran hasil daging tetapi juga sebagai salah satu tarikan di Sabah.

“Spesis tambadau ini hanya tinggal kira-kira 500 ekor dan usaha menyelamatkan spesis ini perlu dilakukan supaya tidak pupus seperti badak sumbu,” jelasnya.

Terdahulu, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang berlangsungnya program itu antaranya lelongan ternakan lembu, kambing, kerbau dan biri-biri. – SabahNewsToday