Pilih Bahasa

Sabah cadang Sukau diangkat sebagai daerah kecil

KINABATANGAN: Kerajaan negeri Sabah menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri akan mencadangkan pembangunan pekan baharu Sukau dekat sini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 supaya kawasan Dewan Undangan Negeri itu diangkat sebagai daerah kecil.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, berkata agenda pembangunan kawasan itu, yang ditadbir di bawah Majlis Daerah Kinabatangan, merupakan komitmen kerajaan negeri baharu bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan agar menjadi nadi pemangkin ekonomi pekan baharu itu kelak.

Datuk Jaujan Sambakong. – Gambar Fail SNT

“Dengan adanya status daerah kecil di Sukau ini, ia akan mempercepatkan urusan pentadbiran di kawasan ini.

“Sebab itulah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sering menyatakan rakyat memerlukan pembangunan…takkan di bandar sahaja, mesti ada pembangunan seimbang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan raya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dekat sini hari ini.

Terdahulu, Jaujan menyempurnakan majlis pecah tanah tapak yang dicadangkan bagi pembangunan sebuah pejabat urus setia apabila Sukau menjadi daerah kecil kelak.

Beliau berkata bagi menjayakan pembangunan pekan baharu itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, khususnya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Negeri, pihak berkuasa tempatan dan jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Mengenai permintaan Saddi agar kerajaan negeri campur tangan dalam pembangunan projek perumahan Felcra Bhd yang tergendala kira-kira enam tahun di Sukau, Jaujan berkata beliau telah meminta Pengerusi LPPB Tan Sri Wences Anggang untuk meneliti projek itu agar impian rakyat yang memohon untuk memiliki rumah, tercapai.

Saddi berkata projek itu dimulakan pada 2013 dengan 123 unit rumah, namun terbengkalai begitu sahaja.

Beliau juga berkata harga rumah bernilai RM80,000 seunit yang dijanjikan kini dinaikkan kepada RM180,000 seunit iaitu di luar kemampuan rakyat di kawasan itu.

— BERNAMA