Pilih Bahasa

Sabah catat 693 kes kemalangan sepanjang Op Selamat 15/2019

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) — Sabah mencatat sebanyak 693 kes kemalangan jalan raya membabitkan pelbagai jenis kenderaan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 15/2019 yang bermula 29 Mei hingga Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama Op Selamat 13/2018, iaitu sebanyak 811 kes.

Katanya jumlah kes membabitkan kemalangan maut juga menurun iaitu 20 kes kematian tahun lepas berbanding 18 kes pada Op Selamat 15/2019, yang mana kedua-duanya dilaksanakan sempena sambutan Aidilfitri.

“Mangsa maut yang paling ramai adalah kategori pengguna motosikal iaitu sebanyak sembilan kes dan 12 kes kematian yang direkodkan adalah di kawasan ‘Black Spot’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang Op Selamat 15/2019 ini juga, polis Sabah telah mengeluarkan 25,179 saman atas pelbagai kesalahan berbanding 20,105 saman pada Op Selamat 13/2018.

Sementara itu, Omar berkata bagi kes jenayah pecah rumah, tiada laporan diterima tahun ini melibatkan kediaman yang telah didaftarkan dengan polis bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.

— BERNAMA