Pilih Bahasa

SABAH CATAT KEMENANGAN PERTAMA LIGA PREMIER

Oleh Chris Maskilone


KOTA KINABALU: Sabah catat kemenangan pertama musim ini menewaskan Terengganu FC II, 3-1 di Stadium Likas tadi.

Ketiga-tiga gol Sabah dijaringkan dalam separuh masa kedua setelah ketinggalan 1-0 menerusi jaringan pemain Terengganu FC II Mohammad Ramzi Sufian pada babak pertama.

Rodoljob Paunovic (No.9) bekerja keras mendapatkan bola bagi pasukan dalam perlawanan yang dimenangi Sabah 3-1 di Stadium Likas. Gambar SNT/Ehsan Safa

Perlawanan bermula dengan pasukan Tambadau mengatur beberapa serangan berbahaya melalui gandingan Luiz Carlos Caetano De Azevedo Junior, Luka Milunovoc, Rodoljub Paunovic dan Maxsius Musa.

Pada minit ke-31 Ketua Jurulatih Sabah Jelius Ating terpaksa mengeluarkan Junior yang mengalami kecederaan selepas membuat tendangan sambil berpusing ke arah gol, dan memasukkan Ricco Nigel Milus.

Ricco Nigel Milus cuba melepaskan diri daripada pemain Terengganu FC II. Gambar SNT/Ehsan Safa

Dua kad kuning dilayangkan oleh pengadil Mohd Ridzuan Rozali setiap satu kepada Sabah dan Terengganu FC II dalam masa 20 minit pertama.

Minit ke-39, Sabah ketinggalan 1-0 apabila pertahanan terleka melepaskan Muhammad Ramzi Sufian yang langsung tidak dijaga membolehkan dia membuat rembatan kencang ke sebelah kanan penjaga gol Rozaimie Rahim.

Babak kedua bermula dengan Sabah tampak lebih garang dan selepas serangan bertubi-tubi, pasukan Tambadau mendapat tendangan sudut pertama di sebelah kanan gol Terengganu FC.

Tendangan Sabri Sahar tepat ke arah pemain pertahanan dari Korea, Taesu Park yang berjaya menyudahkan dalam dua percubaan untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Pada minit ke-64, Luka dijatuhkan di luar kotak penalti dan dia bangkit untuk mengambil sepakan percuma dalam satu set piece dengan Paunovic.

Seramai 2,100 penyokong Sabah bersorak gembira apabila tendangan kencang Luka menuju ke sebelah penjuru kiri gagal ditampan penjaga gol Terengganu FC II, Mohd Sharmirza Yusoff.

Pemain gantian, Ricco melengkapkan kemenangan bergaya Sabah melalui tendangan leret ke sebelah kiri gol menewaskan Mohd Sharmiza Yusoff pada minit ke-73.

Sabah terus menguasai perlawanan sehingga ke wisel penamat.-SabahNewsToday