Pilih Bahasa

SABAH CATAT PENGANGGURAN BELIA TERTINGGI 2017

Oleh Alfred Petrus

Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Dayang Mas Safiah Awang Mahali (lima kanan) dan Simon (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama-sama peserta seminar selepas majlis perasmian. -Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kebanyakan belia Sabah terpaksa meninggalkan negeri ini untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di tempat lain.

Pengerusi Institut Pengajian Pembangunan (IDS) Sabah Tan Sri Simon Sipaun berkata, ia berlaku disebabkan ketidaksesuaian permintaan pasaran pekerjaan dengan bidang pengajian graduan masa kini.

“Pada 2017 Melaka adalah negeri yang mencatatkan kadar pengangguran belia terendah sebanyak 2.9 peratus manakala Sabah, negeri tertinggi pada kadar 13.5 peratus dan kadar pengangguran belia dalam negara ini adalah kira-kira 3.5 peratus.

“Saya dapati bahawa ramai yang bekerja sebagai pembantu rumah, pembantu kedai, pekerja ladang dan sebagainya diambil oleh orang asing.

Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Dayang Mas Safiah Awang Mahali (tengah) berkesempatan berbual dengan perwakilan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Wolfgang Hruschka (kiri) berkenaan seminar tersebut. -Gambar SNT/Alfred Petrus

“Jadi, sebenarnya peluang pekerjaan di dalam negeri boleh diperolehi tetapi belia tempatan tidak tertarik dengan pekerjaan seumpama ini terutama sekali pemegang ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Pengangguran Belia: Keusahawanan Sebagai Sumber Alternatif Pengwujudan Pekerjaan dan Ekonomi Dinamik Untuk Belia di Sabah.

Beliau berkata, Sabah menjadi terkenal melalui kadar pengangguran belia tertinggi tetapi atas alasan yang salah.

Simon menyifatkan ketidaksesuaian antara permintaan dan bidang pengajian belia adalah salah satu aspek wujudnya pengangguran belia.

“Belia kita sendiri terpaksa meninggalkan negeri ini bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara seperti Australia dan Newzeland.

“Saya juga ada melihat dan bertemu dengan mereka yang bekerja di hotel, pasar raya, dan restoran di Semenanjung.

“Pengangguran siswazah yang kian meningkat menunjukkan sama ada negara sedang menghasilkan kemahiran yang salah dan kurang diperlukan atau ia tidak dapat mencipta pekerjaan yang mencukupi untuk tenaga buruh yang ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambahnya, seminar berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai peranan penting keusahawanan sebagai penciptaan pekerjaan dan memberi mereka peluang-peluang baru.

“Ia juga memberi kemas kini mengenai usaha kerajaan dalam menggalakkan keusahawanan dan sudah pasti seminar ini menyediakan platform untuk usahawan serta pemimpin perniagaan untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dan pengetahuan mereka dengan cara terbaik untuk memupuk semangat belia seterusnya dapat mencipta pekerjaan mereka sendiri.

“Seminar ini juga dijadikan platform untuk memberi peluang kepada belia agar mereka dapat mengungkapkan kekangan mereka dan apa yang mereka perlukan untuk berjaya,” jelasnya. -SabahNewsToday