Pilih Bahasa

Sabah catat peningkatan prestasi SPM 2019

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Mistrine (tengah) menyerahkan sijil pencapaian cemerlang kepada salah seorang wakil PPD sambil diperhatikan oleh Dr Yusof. – Gambar SNT/Ihsan KPI

PENAMPANG: Sabah mencatatkan peningkatan daripada segi prestasi pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 berdasarkan penilaian kualiti mengikut Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 0.06 peratus atau 5.38 berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistrine Radin berkata bilangan mata pelajaran yang mencapai kelulusan 100 peratus juga menunjukkan graf peningkatan ketara terutama mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Menurutnya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah amat berpuas hati dengan pencapaian SPM di negeri ini khususnya komitmen pihak sekolah dan guru dalam membantu mencapai kecemerlangan para calon dalam peperiksaan itu.

“Seramai 33,541 calon SPM daripada 211 sekolah di Sabah telah menduduki peperiksaan pada tahun lalu berbanding 34,322 pada 2018 manakala bilangan mata pelajaran pula sebanyak 26 yang telah diduduki.

“Kita juga berbangga apabila sebanyak 151 sekolah luar bandar mencatat kelulusan 87.43 peratus dengan kadar peratus lulus di antara sekolah bandar dan luar bandar adalah kecil iaitu 1.34 peratus,” katanya semasa berucap sempena pengumuman SPN 2019 bagi Sabah di Dewan SM St Michael Penampang di sini. hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini berjaya melepasi pencapaian GPN iaitu 5.38 berdasarkan pencapaian SPM 2019.

Katanya PPD Tawau mencatatkan rekod terbaik iaitu 4.89; PPD Kudat (5.01); PPD Kota Kinabalu (5.03); PPD Penampang (5.03); PPD Kunak (5.06); PPD Tenom (5.11); PPD Tuaran (5.25); PPD Ranau (5.27); PPD Kota Marudu (5.30); PPD Beaufort (5.30) dan PPD Kuala Penyu pula 5.31.

Dr Mistrine menambah sebanyak 14 Sekolah Cemerlang SPM 2019 direkodkan berdasarkan penilaian Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 4.0. – SabahNewsToday