Pilih Bahasa

Sabah Fest bermula 15 Jun sehingga 7 Julai

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Fest 2019 akan diadakan di lapan lokasi terpilih sekitar bandaraya Kota Kinabalu bermula 15 Jun sehingga 7 Julai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata pelancaran acara berkenaan akan diadakan pada hari pertama penganjuran di Laman Seni, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Christina (lima kiri) bersama-sama dengan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah Mansor Asun (kiri), Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) William Baya (tiga jiri), Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Ken Pan Ying On (dua kanan) dan Pemangku STB Noredah Othman (kanan) bergambar bersama selepas sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata pada hari pelancarannya turut diadakan demonstrasi pembuatan serta pameran kraf tangan, makanan tradisional, bazar kebudayaan, trak makanan dan banyak lagi.

“Selain itu, terdapat juga persembahan tarian kebudayaan dari dua kumpulan kebudayaan orang asal iaitu Persatuan Kebudayaan Kesenian Warisan Tobilung Sabah (Tarian Mongigol; Kota Marudu) dan Persatuan Simunul Semporna iaitu tarian Igal Tabawan.

“Penampilan khas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2019, Francesca Esther Nain bersama lima peserta akhir UNK 2019 dengan johan dan naib johan Sugandoi Kaamatan 2019 iaitu Dabra Sia Ying Ying dan Eylia Eyra Guntabid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar penganjuran Sabah Fest 2019 di Wisma Tun Fuad, hari ini.

Katanya selain mempunyai kekayan alam semula jadi dan hidupan liar, Sabah juga mempunyai kekayaan dari segi warisan budaya yang memainkan peranan besar dalam industri pelancongan.

Tambahnya pelbagai tarian etnik terutamanya dari kawasan luar bandaraya Kota Kinabalu akan dipersembahkan kepada umum sepanjang acara berkenaan.

“Kami telah memilih beberapa lokasi di sekitar bandaraya yang dapat dilihat oleh pelancong serta orang ramai terhadap kepelbagaian tarian tradisional ini.

“Pelancong tempatan dan antarabangsa akan dapat melihat sendiri persembahan tarian tradisional seperti Sumazau Penampang, Igal-igal Semporna, Dansa Cocos Lahad Datu dan Magalang Magunatip.

“Sejurus pelancaran, lokasi kedua Sabah Fest akan diadakan di pusat membeli belah Oceanus pada 16 Jun bermula pukul 5 petang. Seterusnya pada 22 Jun bertempat di pusat membeli belah Imago bermula pukul 7 malam,” jelasnya.

Lokasi keempat dan kelima Sabah Fest iaitu di Centre Point Sabah serta Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 22 Jun dan 29 Jun bermula pukul 2 petang dan 7 malam.

Tiga lokasi terakhir akan diadakan di pusat membeli belah Suria Sabah (30 Jun, pukul 1 petang), Night Food Market, Gaya Street (6 Julai, pukul 7 malam) dan Pasar Minggu, Lintasan Deasoka pada 7 Julai pukul 8 pagi.

Dalam pada itu, Christina turut mempelawa orang ramai untuk turut serta memeriahkan acara berkenaan. -SabahNewsToday