Pilih Bahasa

Sabah fokus pembangunan mampan, tingkat ekonomi negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pembangunan mampan Sabah sering menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam pelbagai pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembangunan mampan dan seimbang, isu pengurusan sisa buangan, bekalan air, pelepasan karbon, tebatan banjir, bekalan elektrik, sistem perhubungan, penempatan setinggan serta rumah mampu milik perlu ditangani dengan lebih baik dan strategik.

Jaujan (tiga dari kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Persekitaran yang baik akan membolehkan ekonomi Sabah membangun lebih stabil.

“Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu (KKGCAP) dilancarkan hari ini bertepatan bagi memastikan pembangunan dilaksana pada masa depan mengambil kira konsep pembangunan lestari.

“Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga boleh menyatukan pelan tindakan sedia ada ini dengan pelan perancangan lain yang sedang dilaksana pihak mereka bersama agensi kerajaan lain,” katanya ketika berucap sempena perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.

Yang turut hadir Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, Timbalan Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Ag Alip.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata beliau mahu konsep samadilaksana DBKK terbabit diaplikasikan di daerah lain seluruh negeri.

Menurut beliau, konsep seumpama itu boleh dimanfaatkan daerah lain dalam menguruskan pembangunan di daerah masing-masing dan berharap DBKK boleh  berkongsi konsep ini dengan 26 daerah lain di Sabah. -SabahNews Today