Pilih Bahasa

Sabah hampir pasti ke Liga Super benam Sarawak 4-1

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sabah semakin menghampiri sasaran bermain di Liga Super musim depan apabila membenam Sarawak 4-1 dalam aksi Liga Premier di Stadium Likas semalam.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah merampas kembali tahkta Liga Premier daripada JDT II dengan jumlah 34 mata.

Rodoljub Paunovic cipta jaringan hatrik bantu Sabah menang 4-1 menentang Sarawak di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Jaringan hatrik daripada penyerang import Rodoljub Paunovic dan satu gol daripada Aguinaldo Mendes Vega memastikan kemenangan bergaya bagi Skuad Tambadau dihadapan lebih 5 ribu penonton.

Kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta beberapa menteri kabinet lain pada malam itu turut menyuntik semangat para pemain Tambadau.

Jaringan pertama Paunovic dan juga Sabah hadir pada minit ke-10 manakala Aguinaldo menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-37 yang kekal sehingga masa rehat.

Aguinaldo Mendes Vega (kiri) cuba melepaskan diri dari pertahanan Sarawak. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada babak kedua, pasukan Sarawak cuba bangkit dan berhasil merapatkan jurang pada minit ke-58 melalui pemain berasal dari Sabah Bobby Gonzales.

Ketua pasukan Sarawak itu melompat tinggi menanduk bola hasil dari sepakan sudut melepasi jangkauan penjaga gol Rozaimie Rohim.

Walaubagaimanapun, malam tadi merupakan milik Paunovic apabila sekali lagi dia berjaya mengegarkan gawang Sarawak pada minit ke-62 selepas mendapat hantaran daripada Aguinaldo dari sebelah kiri untuk menambah jurang gol kepada 3-1.

Ketua Pasukan Sarawak, Bobby Gonzales, pemain berasal dari Sabah sedang membawa bola dalam aksi Liga Premier di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Paunovic melengkapkan jaringan hatrik dirinya dan juga gol keempat Sabah pada minit ke-84.

Dia menewaskan penjaga gol Sarawak Shaiful Wazizi Mohammad selepas mendapat lorongan cantik di atas kotak penalti.

Ketua Jurulatih Jelius Ating sebelum itu telah mengambil langkah strategik dengan membuat beberapa pertukaran pemain yang menyaksikan pemain sayap kanan Maxsius Musa yang sudah pulih dari kecederaan menggantikan Alto Linus.

Tambadau mendapat beberapa lagi peluang selepas itu tetapi gagal disudahkan dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Tambadau Sabah masih mempunyai empat perlawanan sebelum musim 2019 melabuhkan tirai.

Sabah kembali merampas tahkta Liga Premier dan hampir pasti layak ke Liga Super musim depan. Gambar SNT

Pencabar terdekat Sabah dalam mengejar kejuaraan Liga Premier ialah JDT II dengan 33 mata dan UiTM FC dengan 28 mata.

JDT II dan UiTM FC mempunyai baki tiga lagi perlawanan dengan antaranya akan menentang Sabah di gelanggang mereka sendiri nanti.

Skuad Tambadau Sabah hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada baki empat perlawanan bagi menempa tempat di Liga Super Malaysia 2020.-SabahNewsToday