Pilih Bahasa

Sabah harap Belanjawan 2020 bagi pendidikan disalur awal tahun depan

KOTA BELUD, 27 Okt — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap peruntukan Belanjawan 2020 bagi pendidikan akan disalurkan awal tahun depan.

Beliau berkata setiap belanjawan yang dibentangkan di Parlimen, peruntukannya hanya dibelanjakan sekitar September.

Tun Juhar bersama Mohd Shafie melakukan gimik pelancaran Tamu Besar Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Saya fikir adalah lebih baik peruntukan itu disalurkan ke lapangan (sekolah) dengan segera, mungkin pada Februari, Mac atau April.

“Sekurang-kurangnya kita menyedari beberapa inisiatif yang telah dibuat, maksud saya kita bercakap mengenai sekolah yang daif,” katanya kepada media selepas menghadiri Tamu Besar Kota Belud, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata di Sabah terdapat lebih 500 sekolah daif termasuk sekolah yang berkongsi bangunan antara sekolah rendah dan menengah.

Tun Juhar bersama isteri diiringi Ketua Menteri meninjau barangan di Tamu Besar Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan JKM

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, dan menteri negeri.

Terdahulu, Mohd Shafie juga mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi Tamu Besar Kota Belud untuk acara tahun depan.

Beliau berkata jumlah itu bagi membolehkan fasiliti di kawasan tamu itu ditambah baik agar dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung selain menambah tapak pameran.

“Jika dahulu peruntukan hanya RM50,000 tetapi kita tambah jumlah itu untuk memenuhi keperluan yang diperlukan oleh pihak penganjur,” katanya.– BERNAMA