Pilih Bahasa

Sabah ikat juara bertahan Piala Malaysia Perak 1-1 di Likas

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah menamatkan kempen Piala Malaysia peringkat Kumpulan C dengan mengikat juara bertahan Perak 1-1 di Stadium Likas malam tadi.

Meski sekadar pelengkap jadual, Sabah menyajikan persembahan menarik untuk menyaingi pemain-pemain ternama pasukan Perak seperti pemain kebangsaan kelahiran Sabah Brendan Gan dan import dari Brazil Ronaldo Henrique Silva.

Park Tae Su (kiri) dan Aguinaldo Mendes (tengah) meraikan gol penyamaan Sabah hasil jaringan Maxsius Musa pada minit ke-48. Gambar SNT/Ihsan Ruslan Lusi

Begitupun, pada minit ke-25 Tambadau dikejutkan Perak apabila Nazirul Naim Che Hassan membawa bola sambil memecut di sebelah kiri meninggalkan Randy Baruh.

Masuk ke dalam kotak penalti, Nazirul terus melorongkan bola kepada Ronaldo yang tidak dikawal di atas kotak dan dengan mudah menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim untuk Perak mendahului 1-0.

Pasukan tuanrumah terus tampak kebuntuan dalam separuh masa pertama dan pada minit ke-37 nyaris dibolosi lagi menerusi salah satu serangan kilat mereka namun Rohaimie bertindak cemerlang menepis cubaan pemain sayap kanan Perak, Partiban K Janasekaran.

Dalam babak kedua, ketua jurulatih Jelius Ating membuat pertukaran memasukkan pemain import Aguinaldo Mendes Veiga yang kemudian berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Perak.

Tambadau akhirnya memecah kebuntuan menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi tandukan Maxsius Musa yang mendapat hantaran cantik daripada tendangan percuma Azizan Nordin.

Pertahanan dan juga penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy hanya terpaku melihat hantaran itu diapungkan oleh Azizan ke dalam kotak penalti.

Bertindak membantu di bahagian tengah, Aguinaldo banyak melorong bola ke depan untuk melepaskan Maxsius namun pertahanan Perak berjaya mengawal keadaan dengan perangkap offside.

Aguinaldo cuba diasak oleh pertahanan Perak dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1 di Stadium Likas malam tadi. Gambar SNT/Ihsan Ruslan Lusi

Permainan menjadi sedikit kecoh apabila Ronaldo mendakwa dijatuhkan semasa insiden ‘off-the-ball’ dan setelah merujuk kepada pegawai ke-empat, pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepada ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil.

Ronaldo kemudiannya dikeluarkan apabila gagal bangkit selepas terjatuh di kawasan Sabah.

Pada minit ke-72, sekali lagi Rozaimie bertindak cemerlang menyelamatkan tandukan Muhamad Shahrel Fikri hasil tendangan sudut yang diambil oleh Partiban.

Partiban juga mempunyai peluang tersendiri pada minit ke-89 namun tendangan kencangnya dari dalam kotak penalti tersasar keluar untuk tendangan gol.

Keputusan seri itu menyaksikan Perak mengiringi Pahang ke peringkat suku akhir Piala Malaysia yang akan bermula pada penghujung minggu ini.

Walaupun musim ini berakhir namun sebenarnya bagi Tambadau Sabah ia menandakan bermulalah masa untuk menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran Liga Super tahun depan.-SabahNewsToday