Pilih Bahasa

Sabah ikat Shitembi; skuad Liga Super Tambadau kini lengkap

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU:  Pemain kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi mengisi kuota import terakhir pasukan Sabah seterusnya melengkapkan barisan pemain Tambadau bagi menghadapi cabaran Liga Super bermula bulan depan.

Mempamerkan aksi menarik semasa kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur baru-baru ini, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) membuat keputusan mengikat Shitembi, 27 bagi tempoh satu tahun.

Shitembi menimang bola sebelum latihan di padang latihan Safa tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

Membuat pengumuman tersebut hari ini, Presiden Datuk Peter Anthony percaya Shitembi mampu memperkuatkan bahagian tengah Tambadau yang sebelum ini dikenalpasti agak kurang mantap.

Empat lagi pemain import Sabah ialah Hector Ramos, Dennis Buschening, Rodoljub Paunovic dan Park Tae-Su.

Manakala dua kuota pemain import tempatan diisi oleh Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Zubir Azmi.

Tirai Liga Super skuad Tambadau Sabah dibuka pada 1 Mac menentang pasukan PDRM di tempat lawan.

Shitembi menerima jersi daripada Peter sementara disaksikan oleh pemimpin majlis tertinggi Safa serta pengurusan pasukan Sabah. Gambar SNT/Chris Maskilone

Walaupun, barisan kesebelasan utama pasukan masih lagi belum diputuskan namun Peter percaya Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto sudah mempunyai perancangannya tersendiri.

Mengenai kecederaan pemain sayap Maxsius Musa, Peter berkata pemain itu terpaksa direhatkan agar dapat pulih setelah mengalami kecederaan dalam perlawanan pra-musim di Malang, Indonesia baru-baru ini.

Begitupun, beliau berkata masih terdapat beberapa pemain yang dapat bermain di posisi Maxsius.

Dalam pada itu, Peter turut mengumumkan timbalan presiden Safa Datuk Juil Nuatim sebagai Pengurus Pasukan Piala Presiden Sabah manakala Justin Ganai dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih skuad junior Tambadau.

Untuk pasukan Piala Belia Sabah, seorang lagi timbalan presiden Safa Datuk Abdul Rahman Zakaria dinamakan sebagai Pengurus manakala Johnny Dominicus kekal Ketua Jurulatih.

Menurut Peter lagi, jersi pasukan Tambadau Sabah untuk Liga Super akan diperkenalkan dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 27 Februari nanti.-SabahNewsToday