Pilih Bahasa

Sabah iktiraf peranan wanita sebagai penggubal dasar

Bernama

KOTA KINABALU, 9 Mac — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan Sabah mendahului negeri lain dalam langkah memperkasakan peranan wanita sebagai pelaksana dan penggubal dasar di peringkat pentadbiran.

Beliau berkata negara ini telah menyasarkan 30 peratus jumlah wanita diletakkan sebagai pemimpin, namun Sabah melangkaui sasaran itu apabila 40 peratus wanita mengisi jawatan kanan kerajaan.

“Langkah itu dibuat kerana menyedari wanita juga mampu memimpin sesebuah organisasi memandangkan sifat keibuan yang ada dalam diri golongan itu telah melatih mereka untuk menjadi pentadbir.

“Maka dengan itu kita telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif untuk bukan hanya menghargai bahkan mendorong kumpulan kaum ibu memainkan peranan dari segi pelaksanaan dan penggubal dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Turut hadir, isteri Mohd Shafie, Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan isteri, Datin Seri Dr Jaina Sintian; Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon serta Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Noni Said.

Mohd Shafie berkata, antara jawatan kanan dalam kerajaan yang diberikan kepada kaum wanita adalah dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Peguam Negeri Sabah.

“Ini lebih daripada 40 peratus apa yang kita letakkan dalam kalangan wanita menjadi penggubal dasar, pelaksanaan dasar termasuk Pengarah EPU, ini belum termasuk Peguam Negeri yang juga seorang wanita. Bayangkan jumlah yang ada di peringkat negeri ini, kita sudah lakukan banyak di peringkat negeri,” katanya.

Pada majlis itu, Datuk Zaleha Rose Pandin dipilih sebagai Tokoh Wanita Sabah, Anugerah Usahawan Cemerlang diberikan kepada Noraini Sulong, Anugerah Wanita Cemerlang kepada Inggai Suging manakala Anugerah Persatuan Cemerlang diraih Persatuan Ibu Tunggal Tandek.

Anugerah Khas Lelaki turut diberikan kepada Datuk Ab. Jamal Tun Sakaran atas sumbangan beliau dalam membangunkan Sabah.

— BERNAMA