Pilih Bahasa

SABAH IMPORT JAGUNG BIJIRIN RM75.6 JUTA SETAHUN UNTUK INDUSTRI TERNAKAN

Datuk Idrus Shafie. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KENINGAU, 20 Mac (Bernama) — Sabah mengimport jagung bijirin bernilai RM75.6 juta setahun untuk memenuhi keperluan industri ternakan di negeri itu , kata Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Datuk Idrus Shafie.

Menurut beliau nilai itu dijangka akan bertambah dari setahun ke setahun memandangkan kepesatan industri ternakan, selain keluaran dalam negeri tidak mampu bagi untuk memenuhi keperluan itu. 

“Hampir 100 peratus jagung bijirin itu kita import dari Brazil dan Argentina, ia sesuatu yang perlu kita tangani kerana kita keluarkan wang untuk membeli bahan itu daripada luar.

“Sebab itu kenapa kita mulakan projek penanaman jagung bijirin di Keningau, kita mahu keluarkan bahan itu sendiri untuk kegunaan dalam negeri bagi tujuan mengekang pengaliran wang ke luar,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan penuaian jagung bijirin daerah Keningau 2019 di sini, hari ini.

Projek percubaan seluas 25 hektar di Batu 7 Kampung Biah Jalan Sook Keningau itu diusahakan oleh empat peserta dengan penanaman jagung jenis GWG888 bermula Disember tahun lepas dan dijangka mampu menghasilkan pulangan sehingga RM300,000 semusim jika keadaan cuaca stabil.

Selain jagung jenis GWG888 untuk keperluan industri ternakan, projek itu juga mengusahakan tanaman jagung manis untuk pasaran tempatan.

Idrus berkata pemilihan Keningau sebagai tapak percubaan untuk projek yang diselia sepenuhnya oleh Jabatan Pertanian Negeri itu adalah bagi memenuhi keperluan industri ternakan yang semakin pesat di daerah itu.

“Fokus pemasaran kita ialah kepada penternak tenusu dan ruminan, selain kedai-kedai pertanian serta usahawan yang terlibat dalam pemprosesan makanan ternakan.

“Jabatan juga ke arah memperluaskan projek ini di seluruh negeri pada masa hadapan,” katanya.

Idrus yakin pembangunan berkapasiti besar terhadap tanaman itu mampu menjana pendapatan Sabah selain dapat mengekang pengaliran wang ke luar negara.

“Hari ini kita mula memiliki jagung bijirin sendiri dan usaha ini jika dibuat secara berfokus mungkin kita mampu mengurangkan import antara 30 hingga 50 peratus jagung bijiran,” kata Idrus.

— BERNAMA