Pilih Bahasa

Sabah Jazz Festival disenarai Hari Jazz Antarabangsa Unesco

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Dengan menggabungkan semua peminat Jazz, swing, bossa nova dan pemain gitar fingerstyle, satu acara julung kali telah diadakan iaitu Sabah Jazz Festival, pada Sabtu.

Walaupun dalam keadaan hujan gerimis, namun tidak mematahkan semangat bagi peminat muzik Jazz terus berada di Sutera Avenue untuk dihiburkan oleh lagu dan muzik-muzik berentak Jazz pada malam itu.

Arthur Lee. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pengerusi Penganjur, Arthur Lee berkata walaupun ia kali pertama diadakan, namun Sabah Jazz sudah disenaraikan di bawah Hari Jazz Antarabangsa, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Katanya sambutan Hari Jazz Antarabangsa yang diadakan di seluruh dunia bermula pada hujung minggu ini dan Sabah Jazz turut mengadakan sambutan tersebut buat kali pertama.

Gordon dan sahabatnya turut serta memeriahkan Sabah Jazz. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sudah pasti Sabah Jazz ini dianjurkan oleh komuniti atau peminat Jazz di Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelakon, pemain muzik itu sendiri, pendidik mahupun bidang lain.

“Kita adakan platform ini adalah satu usaha bagi mengumpulkan bakat dan peminat Jazz sekali gus menjadi tempat mereka memperlihatkan bakat sambil meraikan Hari Jazz bersama-sama,” katanya pada festival berkenaan.

Pembukaan Sabah Jazz yang memukau peminat muzik berkenaan oleh Swag Big Band. Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya penganjuran Sabah Jazz yang sepatutnya diadakan pada 2015 itu, menjadikan pentas pertama pemuzik Jazz seluruh negara berkumpul meraikan muzik Jazz di atas satu pentas pada tahun ini.

Katanya usaha untuk menganjurkan acara itu pada 2015 tidak dapat dijayakan kerana beberapa kekangan sehinggalah pada Mei 2018 di mana beberapa peminat genre muzik tersebut berkumpul dan memutuskan hasrat mengadakan Sabah Jazz edisi pertama 2019.

Hari Jazz dan Unesco

Arthur berkata pada 2011, Unesco secara rasminya menetapkan 30 April sebagai Hari Jazz Antarabangsa untuk menyerlahkan lagi industri muzik Jazz dan peranan mereka dalam penyatuan masyarakat seluruh dunia.

Boogie Woogie Bears ketika membuat persembahan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Hari Jazz Antarabangsa menyatukan komuniti, sekolah, artis, ahli sejarah, ahli akademik mahupun penggemar Jazz seluruh dunia bagi meraikan dan belajar berkenaan asal usul, masa depan, kesan, meningkatkan kesedaran keperluan dialog antara budaya, saling memahami serta memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan komunikasi.

Pada 30 April setiap tahun, Hari Jazz ini juga diiktiraf untuk mempromosikan keamanan, kepelbagaian, menghormati hak asasi manusia, membasmi diskriminasi, kebebasan bersuara, memupuk kesetaraan gender dan memperkuat peranan belia dalam pembentukan serta perubahan sosial.

Kumpulan Ta’Dan turut memberikan persembahan yang memukau. Gambar SNT/Alfred Petrus

Hari Jazz Antarabangsa juga adalah kemuncak kepada Bulan Penghargaan Jazz sepanjang April yang akan menarik perhatian umum kepada Jazz dan warisan.

Pada 2012, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengalu-alukan keputusan Persidangan Agung Unesco untuk menjadikan 30 April sebagai Hari Jazz Antarabangsa. PBB dan Unesco juga mengiktiraf Hari Jazz Antarabangsa di dalam kalender rasmi mereka.

Hady Afro bersama band Grupo Da Bossa. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Jazz adalah seperti cinta, ia adalah sesuatu yang kita mengenali lebih apabila menemuinya. Sangat sukar untuk diungkapkan tetapi sangat menyeronokkan apabila mendengarnya. Kreatif dan memberi inspirasi,” kata Arthur.

Promosi bakat tempatan

Dengan tujuan mempromosikan bakat tempatan, Sabah Jazz menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain Jazz terkemuka di seluruh negara bagi penganjuran julung kali ini.

Arthur berkata pemuzik Jazz Sabah dan Sarawak dianggap sebagai ahli muzik yang berbakat di Malaysia.

Gordon dan sahabatnya turut serta memeriahkan Sabah Jazz. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Tetapi, kebanyakan mereka tidak tahu berkenaan perkara ini. Acara ini akan membawa dan mengetengahkan bakat mereka di sini.

“Sepanjang dua tahun yang lalu, saya telah melihat beberapa kumpulan dari Sabah yang terbang ke Festival Jazz Waterfront Kuching dan Festival Jazz terbesar di dunia iaitu Java Jazz Festival.

“Melihat mereka terbang ke luar negeri untuk menghadiri acara itu cukup mengujakan. Sabah tidak ada acara Jazz seperti festival di Kuching dan mungkin Sabah Jazz ini dapat menjadi platform anak seni dari Sabah.

Hady Afro membawa nyanyian lagu-lagu Jazz dengan mainan fingerstyle pada Sabah Jazz. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Dalam masa yang sama, kami juga boleh membawa artis Jazz terkemuka di rantau ini untuk bersama-sama dalam Sabah Jazz,” jelasnya.

Sabah Jazz

Pada hari pertama Sabah Jazz berkenaan, beberapa band dan artis tempatan mewarnai pentas Jazz yang bermula seawal pukul 7 hingga 10 malam.

Antara penghibur yang memukau peminat Jazz pada malam itu adalah pemain gitar fingerstyle Jazz terbaik Malaysia, Hady Afro, yang mewakili Malaysia untuk mengadakan pelbagai pesta muzik.

Gordon memberikan persembahan yang bersemangat sebagai penutup persembahan pada hari pertama Sabah Jazz. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Pertunjukkan lain juga seperti band Grupo Da Bossa, yang diketuai oleh penyanyi lagu Jazz Latin Malaysia, Joan Jim.

“Pemuzik Jazz yang lain termasuk Swag Big Band dari Sabah, Boogie Woogie Bears (Sabah), Ta’Dan (Sarawak), Wavez (Sarawak/Sabah), Joe Balanjiu Jr (Sabah), Gordon Horace Chin (Sabah), AS Drum dan Bass Duo (Sabah) serta Asif dan Rene,” katanya.

Menurutnya sambutan bagi Sabah Jazz turut mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun ia hanya diadakan buat kali pertama.

“Kami terharu dengan sambutan orang ramai kerana kami tidak menjangkakan agak ramai peminay Jazz di Kota Kinabalu.

“Ada juga pelancong dari negara-negara luar seperti Jepun, Argentina dan Brunei Darussalam.

“Saya berharap, Sabah Jazz akan terus disenaraikan di bawah Hari Jazz Antarabangsa Unesco,” tambahnya. -SabahNewsToday