Pilih Bahasa

Sabah Job Portal ditambahbaik bantu graduan menganggur di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kira-kira 27,000 graduan menganggur di Sabah digesa memanfaatkan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam Sabah Job Portal, iaitu sebuah portal dalam talian di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, portal itu merupakan medium yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi membantu graduan atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan pekerjaan mengikut kemahiran mereka.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusuf Yacob (duduk tengah) bergambar beramai selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam Fasa 4 dan Fasa 5 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Multaqa Graduan Skim Latihan IB Tabung Haji 2018 di Dewan Tun Sakaran, TH Hotel, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Yusuf berkata, peranan portal itu yang sebelum ini kurang mendapat sambutan diperluaskan dengan memperbesarkan pangkalan datanya termasuk menyediakan bahagian atau kategori mengikut pengkhususan pekerjaan.

Katanya, Sabah Job Portal tersebut turut dihubungkan dengan badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat swasta di negeri ini yang mencari pekerja secara dalam talian.

“Graduan-graduan yang mempunyai kelulusan dan belum mendapat pekerjaan boleh menghantar biodata mereka dengan mendaftar di Sabah Job Portal. Segala maklumat berkaitan kelulusan, bidang dan kemahiran pendaftar ada di portal ini dan majikan yang ingin mencari pekerja boleh melayari portal ini.

“Kita sasarkan sehingga hujung tahun ini, kesemua 27,000 graduan menggangur yang direkodkan di negeri ini mendaftar di Sabah Job Portal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penempatan Guru Interim Pendidikan Islam Fasa 4 dan Fasa 5 Jabatan Pendidikan Negeri dan Multaqa Graduan Skim Latihan IB (Industrial Based) Tabung Haji di sini hari ini.

Yusof berkata, penambahbaikan dalam portal itu adalah sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai sifar pengangguran atau sekurang-kurangnya lima peratus pengangguran di Sabah.

Katanya, ia juga bertepatan dengan unjuran peluang pekerjaan yang ingin diwujudkan oleh kerajaan negeri iaitu sebanyak 650,000 pada 2023.

Beliau menambah, kerajaan negeri yakin kehadiran lebih ramai pelabur dari luar untuk membuka kilang-kilang perindustrian di Sabah akan mewujudkan banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. – SabahNewsToday