Pilih Bahasa

Sabah-Kalimantan bincang pelan pembangunan bersama

Delegasi Sabah dan Kalimantan Timur yang mengadakan pertemuan sempena lawatan Mohd Shafie dan rombongan ke wilayah itu. – Gambar SNT/Ihsan JKM

BALIKPAPAN, INDONESIA: Lawatan kerja pertama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke Kalimantan menunjukkan tanda-tanda positif, hubungan kerjasama ekonomi, pelancongan dan pendidikan dengan pemerintah di wilayah tersebut. 

Sebaik tiba di Balikpapan, beliau terus mengadakan perjumpaan dengan Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor. 

Dalam pertemuan itu, mereka berbincang tentang pembangunan Kalimantan Timur serta pelan pembangunan Ibu negara di kawasan itu.

Ini diikuti dengan sesi taklimat dan soal jawab antara rombongan Sabah dan wakil daripada Kalimantan Timur. 

Pertemuan tersebut turut membincangkan kemungkinan penganjuran semula Borneo Games yang terkenal suatu ketika dahulu di kepulauan Borneo. 

Antara perbincangan lain ialah peranan Sabah dalam membantu membangunkan sektor pelancongan di Kalimantan Timur dengan Sabah berperanan sebagai hab pelancongan.

Jaujan (tengah) bersama Junz Wong (kiri) dan Christina (kanan) semasa menghadiri sesi pertemuan di antara delegasi Sabah dan Kalimantan Timur. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam bidang pendidikan pula, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yaacob turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), UiTM Kota Kinabalu dan SIDMA College dengan Universitas Balikpapan berkenaan program pertukaran pelajar dan lain-lain program berkaitan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin; Pengarah Kampus UiTM Kota Kinabalu, Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline dan Pengerusi SIDMA College, Prof Dr Morni Kambrie. 

Sementara itu, Mohd Shafie turut melawat projek Lebuhraya Bertol Balikpapan-Samarinda sepanjang 99 Kilometer. – SabahNewsToday