Pilih Bahasa

Sabah kecam cubaan menyeludup gading gajah dari Lahad Datu ke Kalimantan, Indonesia

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan kesedihan dan kecewa terhadap laporan penyeludupan 10 gading gajah dari Lahad Datu Ke Samarinda Kalimantan yang berlaku pada Selasa (9 Julai).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata kes berkenaan secara tidak langsung menyebabkan Sabah kehilangan lima ekor gajah melalui pemburuan haram yang tidak bertanggungjawab.

Christina Liew. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini satu berita buruk dalam usaha pemuliharaan gajah di sini. Kita berterima kasih kepada kecekapan pegawai Kastam Indonesia dalam mengesan penyeludupan dan menahan pelaku untuk siasatan.

“Saya mahu badan berkaitan menunjukkan kecekapan seperti kerajaan Indonesia untuk memastikan tidak ada berlaku penyeludupan sedemikian pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, pada Ahad berkenaan kes penahanan seorang lelaki warga asing yang cuba menyeludup 10 gading gajah ke Indonesia.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut menyuarakan kebimbangan beliau bahawa sesetengah pekerja asing di Sabah didakwa terlibat dalam aktiviti haram yang menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di negeri ini.

Dalam pada itu, pihaknya menggesa agar pemilik ladang yang menghadapi konflik gajah di kawasan masing-masing untuk bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar.

“Ini bukan sahaja untuk melindungi kawasan atau tanaman sendiri tetapi juga mampu melindungi gajah daripada diburu secara haram.

“Saya juga menggesa kepada majikan untuk memantau aktiviti pekerja mereka untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya. -SabahNewsToday