Pilih Bahasa

Sabah kekal pendirian tulisan Jawi hanya subjek pilihan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ewon (tengah) bersama para tetamu yang hadir di Rumah Terbuka Krismas Anglican Diocese Sabah di Wisma Anglican. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA KINABALU: Sabah yakin Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan terus mengadakan libat urus dengan kesemua pihak agar dapat mencari jalan penyelesaian berhubung isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Naib Presiden Upko merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan Sabah tetap dengan pendirian bahawa tulisan Jawi harus menjadi subjek pilihan kepada pelajar.

“Saya fikir kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet lalu telah membuat ketetapan agar tulisan Jawi menjadi mata pelajaran pilihan dalam kalangan pelajar.

“Apa pun bagi saya kalau ada permintaan khususnya daripada murid-murid yang ingin mempelajari tulisan Jawi, mereka masih boleh memilih untuk belajar tentang subjek khat ini,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui semasa mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghadiri Rumah Terbuka Krismas Anglican Diocese Sabah di Wisma Anglican di sini, hari ini.

Ewon berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta pendirian kerajaan negeri sebelum ini terhadap isu tersebut.

Ewon (kanan) berbual dengan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon ketika hadir di Rumah Terbuka Krismas Anglican Diocese Sabah di Wisma Anglican. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Beliau menjelaskan tulisan Jawi tidak seharusnya dijadikan mata pelajaran teras yang digabungkan dalam Bahasa Melayu sebaliknya ia haruslah berasingan sebagai satu subjek.

Katanya langkah itu akan membolehkan murid-murid terutama dalam kalangan bukan Islam memilih sama ada mempelari mata pelajaran itu atau sebaliknya.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

Bagaimanapun keputusan itu mendapat reaksi berbeza oleh pelbaga pihak yang membantah tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dikatakan akan mengadakan persidangan membantah pengenalan tulisan Jawi namun mengumumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah, semalam. – SabahNewsToday