Pilih Bahasa

Sabah kekal sokong Tun Mahathir

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Adun dan Ahli Parlimen blok kerajaan negeri di PPNS. – Gambar SNT/Ihsan IM

KOTA KINABALU: Tanda tanya mengenai pendirian kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama PKR, Dap dan Upko terhadap Kerajaan Persekutuan baharu, akhirnya terjawab apabila gabungan itu menyatakan pendirian untuk menyokong kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas hampir 45 minit membuat penjelasan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen blok kerajaan negeri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) petang tadi.

Mohd Shafie merangkap Presiden Warisan berkata begitupun, kerajaan negeri akan tetap memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terpelihara menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Sabah akan meneruskan apa yang telah kita mulakan khususnya usaha-usaha melaksanakan pembangunan untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Saya yakin apa yang telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan saya juga telah memanggil beberapa pegawai Persekutuan untuk meneruskan usaha-usaha membangunkan dan membantu rakyat Sabah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shafie (tengah) bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Adun dan Ahli Parlimen blok kerajaan negeri. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Datuk Christina Liew (kanan). – Gambar SNT/Ihsan IM

Berdasarkan komposisi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah blok kerajaan mempunyai seramai 43 Adun yang terdiri daripada Warisan (31), Dap (enam), Upko (empat) dan PKR pula dua.

Jumlah 43 itu tidak termasuk daripada lima lagi Adun lantikan iaitu dua daripada Warisan, Dap, Upko dan PKR masing-masing satu wakil.

Sementara blok pembangkang memiliki 17 kerusi Dun terdiri daripada Bersatu (sembilan), PBS (empat), Star (tiga) dan Umno (satu).

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Mohd Shafie berkata ia adalah untuk menjelaskan keadaan dan kedudukan senario politik negara yg tidak begitu menentu sejak beberapa minggu ini.

“Kebimbangan saya ialah oleh kerana mereka mungkin hanya (mendapatkan maklumat mengenai isu semasa) berlandaskan media sosial dan tidak mengetahui tentang maklumat ataupun berbagai andaian yang dilontarkan di media sosial.

“Itu boleh membentuk pemikiran dan pendirian mereka,” ujarnya.

Beliau menegaskan, wakil rakyat perlu mempunyai kejelasan dalam hala tuju perjuangan mereka bagi memastikan amanah mahupun tugas dilakukan untuk membela nasib rakyat dapat dilaksanakan dan dicapai dengan jayanya. – SabahNewsToday