Pilih Bahasa

Sabah keluarkan pelan induk pendigitalan negeri tahun ini

SANDAKAN, 5 Sept — Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dijangka mengeluarkan pelan induk pendigitalan negeri tahun ini bagi memacu ekonomi Sabah dalam era pendigitalan, kata menterinya Datuk Dr Yusof Yacob hari ini.

Katanya, pelan itu akan menyusun dan menyelaraskan semua sistem digital yang ada di negeri ini bagi menarik pelabur luar ke Sabah.

Datuk Dr Yusof Yacob. Gambar Fail SNT

“Inilah (pelan pendigitalan) yang akan dilihat oleh pelabur negara lain mengenai setakat mana kita di Sabah boleh menyediakan khidmat digital untuk perhubungan antarabangsa dan penghantaran data yang mudah dan cepat.

“Bagi industri seperti pengilangan dan pembuatan, sistem digital sangat penting kerana inilah keperluan masa kini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Peringkat Sandakan di sini.

Dr Yusof berkata pelan itu dijangka siap dalam tahun ini dan akan dibentangkan ke kabinet negeri.

— BERNAMA