Pilih Bahasa

Sabah kemukakan permohonan konsep sewa beli rumah mampu milik kepada Kerajaan Pusat

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kerajaan Negeri Sabah sudah mengemukakan beberapa permohonan kepada Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan isu pemilikan rumah rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, antara permohonan itu adalah pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dilakukan oleh kerajaan dan mengguna pakai konsep sewa beli kepada pembeli.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong menyampaikan sumbangan dalam Majlis Iftar Ramadan di Dewan Serbaguna Look Sisarah Pulau Bum-Bum Semporna. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Katanya, negeri ini berhadapan isu pemilikan rumah terutamanya membabitkan golongan muda dan yang baharu berkahwin ekoran tidak mampu membayar harga rumah dan nilai harga tanah yang mahal.

“Kita di Sabah berusaha untuk itu (permohonan rumah sewa beli) kerana rakyat di Sabah ini mahu rumah yang dibayar sewa setiap bulan selama bertahun-tahun sehingga rumah itu jadi milik mereka apabila mencapai jumlah harga rumah itu, “katanya.

Beliau berkata ketika sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan Bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Parti Warisan Dun Sulabayan di Dewan Serbaguna Look Sisarah, Pulau Bum-Bum, di sini semalam.

Katanya, konsep sewa beli rumah mampu milik itu akan diyakini dapat mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

“Jika kerajaan menggunakan konsep sewa sepanjang hayat untuk rumah mampu milik ini, ianya akan menyebabkan tidak ada perubahan berlaku dalam kehidupan masyarakat.

“Mereka tidak akan ada ikhtiar atau perancangan untuk dapat memiliki rumah sendiri sepanjang hayat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, walaupun negeri ini mempunyai tanah yang luas tetapi masyarakat tidak akan memilih untuk mendirikan rumah di kawasan tidak berpenghuni dan jauh dari pembangunan dan kemudahan asas.

“Jika bina rumah di kawasan strategik pula, kos rumah sangat mahal sebab harga tanah yang tinggi, ada berlaku harga tanah lebih tinggi berbanding kos membuat rumah sampai pembeli tidak mampu.

“Oleh itu kerajaan negeri sentiasa berusaha seimbangkan pembangunan sama ada di bandar dan luar bandar untuk kesamarataan seluruh rakyat.

Terdahulu dari itu beliau yang juga wakil rakyat Sulabayan mahu masyarakat melakukan perubahan minda agar seiring dengan usaha perancangan pembangunan yang dilakukan kerajaan.

“Kita tak boleh berfikir macam dahulu lagi, kita harus berubah mengikut peredaran zaman teknologi, sebab tidak ada jalan singkat untuk senang tanpa kerja, lepas itu berhenti berbicara perkara tidak bermanfaat,” katanya. – SabahNewsToday