Pilih Bahasa

Sabah kenalpasti rakan dagangan baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Madius Tangau. – Gambar file SNT

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah mensasarkan beberapa negara baharu berpotensi menjadi rakan dagangan serta pasaran industri negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah selain memperkasa jalinan dagangan pasaran sedia ada (pasaran tradisional).

Negara tersebut ialah Jerman, Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan dan Thailand.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata semua negara berkenaan dijangka bakal menjadi pengimport produk Sabah terutamanya makanan.

Madius berkata usaha berterusan juga harus sentiasa dijalankan bagi mengenalpasti negara lain yang berpotensi untuk mempromosikan pelaburan.

“Bagi industri kelapa sawit serta logistik, usaha ditumpukan kepada beberapa negara termasuklah Indonesia, Brunei, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Eropah, Amerika Syarikat dan New Zealand.

“Industri minyak dan gas pula kita sasarkan Rusia manakala industri perabot berasaskan kayu disasarkan ke atas negara Jepun dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (Upko-Sugut) berkaitan negara-negara baharu yang disasarkan berpotensi menjadi rakan dagangan dan pasaran industri Sabah pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah di sini hari ini.

Terdahulu rakan dagangan utama Sabah pada 2018 ialah Australia, India, Singapura, China dan Filipina membabitkan eksport produk minyak mentah petroleum, minyak kelapa sawit, papan lapis, methanol dan palm kernel oil.

Dalam pada itu, Madius berkata kementeriannya menerusi Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dalam usaha mempertingkatkan sektor perdagangan negeri.

Beliau berkata antara program dilaksanakan termasuklah penyertaan dalam expo antarabangsa seperti Gulfood di Dubai, Foodex di Jepun, Cosmobeauty Seoul di Korea Selatan dan Thaifex di Thailand.

“Hasil pencapaian melalui penyertaan expo ini menunjukkan setakat Jun 2019, usahawa industri kecil dan sederhana (IKS) berjaya memperoleh jualan dan potensi jualan kira-kira RM89.3 juta melibatkan 395 kontena setahun.

“Kita lihat program promosi mahupun penggalakkan eksport seumpama ini penting bagi meningkatkan pertumbuhan dalam sektor perdagangan dan pelaburan di negeri ini,” katanya. – SabahNews Today