Pilih Bahasa

Sabah kongsi mata dengan Kelantan – Liga Perdana

Oleh Chris Maskilone


KOTA KINABALU:  Sabah hampir mendapat tiga mata penuh di tempat lawan, namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan seri 3-3 dalam perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu semalam.

Sabah memulakan perlawanan dengan langkah kiri kerana menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan apabila penyerang import kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai dijatuhkan dalam kotak penalti.

Flavio Beck Junior tenang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim untuk Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke- 6.

Bagaimanapun, pemain import baharu Sabah, Luka Milunovic berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui tandukan selepas mendapat hantaran sepakan percuma enam minit kemudian.

Kedudukan 1-1 kekal pada separuh masa pertama.

Dalam babak kedua, Kelantan sekali lagi mendahului apabila sepakan kencang penyerang import kelahiran Uruguay, Raul Tarragona Lemos ditampan masuk pemain tengah, Nik Akif Syahiran pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pemain import keempat skuad Tambadau dari Brazil, Luiz Carlos Junior yang baru sahaja menandatangan kontrak dengan pasukan Sabah hampir menyamakan kedudukan namun  tandukan kencangnya terkena palang sebelum ditangkap kemas Abdul Arif pada minit ke-70.

Pada minit ke-78, penyokong tuan rumah tergamam apabila pemain tengah berbahaya Sabah, Maxsius Musa membuat sepakan kencang lalu menewaskan Mohd Arif untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Tidak cukup dengan itu Maxsius sekali lagi menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah apabila sepakan leretnya berjaya menewaskan Abdul Arif untuk menjadikan kedudukan 3-2 dengan tinggal hanya empat minit lagi masa perlawanan sebenar.

Walaubagaimanapun, penyokong Kelantan dapat bernafas lega apabila Muhammad Danial Haqim Draman menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma yang diambil Junior pada minit ke 88.

Kedudukan 3-3 kekal sehingga tamat masa perlawanan dan Sabah terpaksa akur berkongsi satu mata dengan Kelantan.-SabahNewsToday