Pilih Bahasa

Sabah kuatkuasa larangan masuk peserta Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Indonesia mulai hari ini

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk melaksanakan larangan kemasukan peserta Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia 2020 di Gowa, Sulawesi Selatan Indoenesia pada 18 -19 Mac lalu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata selain itu operasi terminal bas awam seluruh negeri ini juga ditutup sebagai langkah menangani wabak Covid-19.

Menurut beliau keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre yang diadakan hari ini.

“Maklumat daripada setiap daerah di Sabah mendapati bahawa masih banyak pergerakan penduduk di terminal bas daerah masing-masing sekaligus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bagi menangani perkara tersebut, kerajaan negeri memutuskan supaya Pihak Berkuasa Tempatan Daerah masing-masing menutup semua operasi terminal bas awam (Inter-district) di seluruh negeri bermula 21 Mac 2020 sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 31 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Safar berkata mesyuarat itu turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya melaksanakan beberapa perkara berkaitan isu pelajar Sabah yang terkandas di lapangan terbang di Semenanjung pada 18 Mac lalu.

Katanya perkara itu diselesaikan pada 19 Mac melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur.

“Begitu juga dengan penumpang-penumpang warga Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Semenanjung dan di Sarawak atau di lapangan terbang Kota Kinabalu telah juga berjaya diatasi sepenuhnya pada pukul 7.00 malam 19 Mac 2020,” ujarnya.

Safar berkata selain itu pihaknya telah melaksanakan kerja pembersihan dan penyahkuman dilakukan di bangunan kerajaan mulai 15 hingga 20 Mac mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan dipantau oleh Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di sebanyak 36 premis.

Usaha pembersihan dan penyahkuman itu juga, jelas beliau lagi dilakukan ke atas 62 buah masjid dan 90 buah surau di seluruh negeri Sabah.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri mengarahkan agar Pihak Berkuasa Tempatan daerah masing-masing menjalankan penguatkuasaan terhadap premis yang sepatutnya tidak beroperasi dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Berhubung keperluan pusat kuarantin, Safar memberitahu selain daripada pengasingan di wad hospital, kerajaan pegeri juga telah membuka pusat kuarantin di beberapa daerah untuk menempatkan individu sedang disiasat (PUI) Covid-19 di Sabah.

Pusat berkenaan ialah di Rumah Rehat Ranau, Rumah Rehat Kinabatangan, Malaysian Palm Oil Board, Lahad Datu, Projek Perumahan Rakyat Batu Putih Sandakan dan Kompleks Belia Tawau.

Dalam masa sama katanya kerajaan negeri mengesahkan bahawa tidak terdapat kekurangan bekalan makanan di Sabah pada ketika ini.

Tambah beliau, perkara itu dipantau oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – SabahNewsToday