Pilih Bahasa

Sabah kutip RM8.3 bilion dari pelancongan tahun lalu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah mencatat hasil tertinggi dalam sejarah bagi negeri iaitu sebanyak RM8.3 bilion tahun lalu.

Jumlah terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus berbanding RM7.8 bilion bagi tahun 2017.

Christina (enam dari kiri) bersama tetamu jemputan sempena Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Timbalan Kuala Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata hasil berkenaan menunjukkan sektor pelancongan di Sabah kian berkembang.

“Kedatangan pelancong ke Sabah juga mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.9 juta orang seperti yang direkodkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Christina menekan bola LED sebagai gimik perasmian sempena Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, William Baya, Ketua pengarah Jabatan Muzium merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Muzium Antarabangsa 2019, Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah merangkap Pengrusi Jawatankuasa Pelaksana Hari Muzium Antarabangsa, Arif Abd Hamid.

Bertempat di Jabatan Muzium Sabah, Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan bakal berlangsung selama 10 hari bermula 12 sehingga 21 Julai hadapan.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan termasuklah kejohanan golf amal, pameran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019, bengkel tarian dan muzik, perlawanan boling pengarah-pengarah dan zon selain muziumthon.

Sementara itu, Christina berharap peningkatan bilangan pelancong serta hasil pendapatan industri pelancongan negeri akan berterusan setiap tahun agar dapat terus menjana pendapatan negeri srta negara sehingga menjadikan Sabah salah satu pusat destinasi pelancongan terkemuka bertaraf dunia.

“Sabah sememangnya terkenal sebagai pusat pelancongan terkemuka di dalam mahupun luar negara menerusi keindahan alam semula jadi, gunung dan pulau yang sering menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar untuk bercuti.

“Selain itu, kita turut dikenali dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang unik. Kelebihan ini pastinya mampu menarik lebih ramai kemasukkan pelancong ke Sabah agar terus meningkatkan pendapatan sosioekonomi serta mampu berdaya saing,” katanya. -SabahNews Today