Pilih Bahasa

Sabah laksana program regularisasi pekerja asing tidak sah dari 1 April – 30 September

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Majikan yang menggaji pendatang tanpa izin sebagai pekerja dalam sektor perladangan dan pertanian boleh mendapatkan pas yang sah bagi mereka bermula 1 April hingga 30 September, 2019.

Ini berikutan pelaksanaan program regularisasi bagi pekerja asing yang tidak sah di sektor perladangan dan pertanian, kata pengarah Imigresen Sabah Datuk Musa Sulaiman dalam kenyataannya pada Isnin.

Datuk Musa Sulaiman. Gambar Fail SNT

Menurutnya, Jabatan Imigresen telah menerima makluman dari Kerajaan negeri mengenai keputusan tersebut.

Oleh itu bagi tujuan pelaksanaan program ini, Jawatankuasa Program Regularisasi Sektor Perladangan Dan Pertanian Negeri Sabah telah ditubuh dan diaktifkan bermula pada 1 April.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah adalah urusetia bagi jawatankuasa ini, katanya.

Menurut Musa, program itu bertujuan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi sektor perladangan dan pertanian yang berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja.

Ianya juga bertujuan membantu menyelesaikan isu keselamatan berhubung kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) di sektor perladangan dan pertanian.

Melalui program ini majikan yang sedang menggaji PTI dalam sektor peladangan dan pertanian berpeluang mendapatkan pas yang sah bagi pekerja-pekerja asing mereka.

Namun, kesemua PTI dan tanggungan yang didaftarkan terlebih dahulu akan diambil tindakan kompaun sebelum proses pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara atau Pas Tanggungan dilaksanakan.

Menurutnya, program regularisasi ini akan membantu agensi penguatkuasaan merancang tindakan yang lebih berkesan pada masa hadapan.

Walaupun program ini berjalan daripada 1 April hingga 30 September namun tarikh bagi penerimaan permohonan kuota majikan adalah dari tempoh 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019 sahaja, katanya.

Berikut adalah maklumat penuh program:

  • Terbuka kepada majikan di sektor perladangan dan pertanian atau sub-sektor pertanian;
  • Pekerja yang hendak didaftarkan adalah warganegara Indonesia dan Filipina sahaja, serta mematuhi syarat-syarat umur sedia ada;
  • Pekerja adalah PTI yang dikategorikan dibawah kesalahan seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sahaja. Bagi kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c), PTI hendaklah telah berada di Negeri Sabah sebelum 01 Januari 2019;
  • Program ini membenarkan pekerja didaftarkan bersama tanggungan (isteri dan anak sahaja);
  • Kesemua PTI dan tanggungan yang didaftarkan akan diambil tindakan kompaun terlebih dahulu sebelum proses pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara atau Pas Tanggungan dilaksanakan;
  • Setiap pekerja yang hendak didaftarkan hendaklah mempunyai pasport yang sah dari negara berkaitan dan tempoh sah laku pasport tidak boleh kurang dari 18 bulan;
  • Majikan juga boleh mendaftarkan pekerja yang tidak memiliki pasport. Walau bagaimanapun majikan bertanggungjawab untuk mendapatkan pasport pekerja melalui Kedutaan / Konsulat sebaik permohonan kuota diluluskan.

Musa berkata permohonan kuota oleh majikan, hanya di terima di Bahagian Pekerja Asing, Ibu Pejabat Kota Kinabalu sahaja dengan menyertakan senarai lengkap pekerja yang hendak didaftarkan.

Setelah permohonan kuota diluluskan, majikan perlu mengemukakan pasport pekerja untuk tindakan lanjut di mana-mana Pejabat Jabatan Imigresen / daerah di  seluruh Sabah yang terdekat mengikut lokasi majikan, katanya.

Kadar bayaran program regularisasi Sabah 2019 adalah seperti berikut:

Gambar SNT/Ihsan Imigresen Sabah

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui:-

Ketua Bahagian Pekerja Asing

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,

Tingkat 3, Blok B, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah 88450 Kota Kinabalu

Atau

Pejabat Jabatan Imigresen yang di seluruh Negeri Sabah.

-SabahNewsToday