Pilih Bahasa

Sabah mahu peruntukan lebih besar dalam Belanjawan Negara 2020

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih menaruh harapan permintaan kenaikan royalti daripada hasil minyak dan gas akan dapat dipenuhi dalam Belanjawan Negara 2020 nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini merupakan harapan Sabah iaitu bukan sahaja yang telah dibincangkan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 bahkan juga lebih banyak peruntukan untuk pembangunan negeri ini dalam belanjawan tahun depan.

Pengerusi Shell Malaysia menerangkan sesuatu kepada Mohd Shafie sempena lawatan beliau ke ibupejabat Shell Sabah di Shell Plaza hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Ini disebabkan kita tahu bahawa Sabah merupakan antara pengeluar minyak dan gas. Kita sedar dan tahu kekangan kewangan di peringkat Persekutuan tetapi kita juga memerlukan wang untuk membangunkan negeri ini yang masih jauh ketinggalan dari segi prasarana,” kata beliau ketika ditanya harapan Kerajaan Sabah mengenai Belanjawan Negara 2020 yang akan dibentangkan bulan hadapan.

“Kita perlu memastikan kita mengambil pendekatan yang betul agar sektor ini mapan dan mampu menarik pelaburan yang menguntungkan serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Shafie berbual dengan para pekerja Shell di pelantar Malikai dan Gumusut-Kakap melalui teleconferencing. Gambar SNT/Ihsan JKM

Ditemui selepas membuat lawatan kerja kali pertama ke ibu pejabat Shell Sabah di sini hari ini, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri maklum mengenai isu yang dibicarakan oleh rakyat selepas pilihanraya iaitu bagaimana Sabah sebagai sebuah negeri pengeluar minyak tetapi perolehan tidak sebanyak itu.

“Jadi kita maklum keadaan ini. Ini harapan saya. Saya juga maklumkan kepada (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng tentang perkara ini supaya harapan kita apa yang telah kita usahakan akan dapat dijalankan,” katanya.

Menurut beliau kenaikan royalti minyak sebanyak 20 peratus merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan.

Ketua Menteri disambut oleh para pegawai Shell Malaysia dan Sabah. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Saya telahpun menyatakan kepada Putrajaya berkenaan ini dan 20 peratus bukanlah sesuatu yang banyak jika dibandingkan dengan apa yang mereka perolehi.

“Apa pun kita sentiasa berbincang dengan mereka tentang cara untuk kita mendapatkan 20 peratus tersebut dan saya harap ianya akan tercapai,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau telah mendapat taklimat mengenai operasi Shell di Sabah terutama dua telaga laut dalam di perairan Sabah iaitu Malikai dan Gumusut-Kakap.

Beliau juga sempat berbual dengan pekerja-pekerja di dua pelantar tersebut melalui tele-conferencing.-SabahNewsToday