Pilih Bahasa

Sabah mahu tiga mata penuh di Stadium UiTM Shah Alam

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pertemuan Sabah dengan UiTM FC malam esok ibarat perlawanan final yang harus dimenangi agar Tambadau dapat dinobatkan lebih awal sebagai Juara Liga Premier musim ini.

Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony mahu para pemain mengambil berat perlawanan ini seolah-olah perlawanan akhir dan mempamerkan persembahan terbaik mereka demi menamatkan kemarau kejuaraan selama 23 tahun.

Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Menteri Pembangunan Infrastruktur itu menyeru pemain menunjukkan semangat juang tinggi seperti mana ketika menundukkan JDT II 1-0 di Pasir Gudang.

“Pertemuan dengan JDT II di Pasir Gudang pada Jumaat lalu juga umpama perlawanan akhir menentukan tempat ke Liga Super dan kita menang untuk menamatkan penantian tujuh tahun ke saingan utama bola sepak negara itu.

“Menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam malam esok juga umpama satu lagi perlawanan akhir dan kita mahu memenanginya untuk dinobatkan sebagai juara Liga Premier,” katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Menurutnya, kelebihan berpihak kepada pasukan Tambadau kerana Sabah memiliki tiga peluang dari baki tiga perlawanan untuk merangkul gelaran juara.

Terdapat sedikit kebimbangan disebabkan pemain pertahanan tengah, Park Tae Su dan bahagian midfield Ahmet Atayev serta seorang lagi pertahanan Sabah, Randy Baruh tidak akan bermain kerana telah digantung akibat mengumpul tiga hingga enam kad kuning.

Namun, Peter tetap yakin bahawa sesiapa sahaja yang akan diturunkan nanti mampu mengalas tugas.

“Saya juga percaya barisan jurulatih sudah ada perancangan terbaik untuk menyelesaikan misi malam esok,” katanya.

Sehubungan itu, Peter sekali lagi merayu kepada penyokong Tambadau Sabah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk datang beramai-ramai memberi sokongan moral kepada pasukan seperti di Pasir Gudang yang rata-rata dibanjiri oleh rakyat Sabah di Johor.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kejayaan memungut mata penuh di Pasir Gudang amat berharga sekali kerana dengan jumlah 37 mata dari 17 perlawanan hanya JDT II sahaja yang ada sedikit peluang menafikan Tambadau gelaran juara Liga musim ini.

JDT II perlu menang kedua-dua perlawanan terakhirnya dan pada masa sama mengharapkan Sabah gagal mendapat sekurang-kurangnya tiga mata dari tiga perlawanan.

Bagaimanapun segala percaturan matematik ini tidak payah difikirkan sekiranya Tambadau memperolehi tiga mata penuh dengan  menundukkan UiTM FC malam esok.

Jika menang jumlah pungutan mata Sabah adalah 40 sementara itu, jumlah mata maksima yang boleh dipungut JDT II ialah 39.

Untuk rekod, Sabah dan UiTM FC seri 1-1 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Likas.

Ketua Jurulatih Tambadau, Jelius Ating dijangka menurunkan Mafry Balang untuk mengalas tugas Park manakala Dendy Lowa mengisi tempat Randy dan Mohd Azizan Nordin mengambil tugas Atayev.

Pemain lain dijangka dikekalkan sebagaimana ketika menewaskan JDT II termasuk menyandarkan jentera serangan kepada gandingan dua import, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019. Gambar SNT

Pintu gol Sabah akan terus dijaga oleh Rozaimie Rohim manakala ketua pasukan, Rawilson Batuil akan mengawal benteng pertahanan bersama Mafry, Dendy dan Evan Wensley.

Jadual Liga Premier 9 Julai
Jadual Liga Premier 10 Julai

Azizan yang kembali daripada kecederaan dijangka menghidupkan bahagian tengah Tambadau bersama Ricco Nigel Milus dan dibantu Alto Linus, Jenius Karib atau Maxsius Musa di sayap kiri dan kanan.-SabahNewsToday