Pilih Bahasa

Sabah mampu catat pertumbuhan ekonomi, perniagaan

Bernama

KOTA KINABALU, 12 Mac — Sabah yang mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi, berpeluang meneroka pelbagai potensi besar perniagaan dan ekonomi bagi faedah jangka panjang, termasuk impak susulan keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.

Sehubungan itu, Pengerusi Forum Ekonomi Islam (WIEF) Tun Musa Hitam berkata usaha seperti pengumpulan maklumat dan data berkaitan, Sabah mampu mewujudkan strategi yang bersesuaian serta memainkan peranan aktif yang dapat memenuhi kepentingan ekonominya.

“Sebagai sebuah negeri progresif dan dinamik yang mesra perniagaan serta mempunyai rekod prestasi baik, kami percaya Sabah komited sepenuhnya ke arah pembangunan menerusi pelaburan dalam sektor ekonomi yang tepat.

“Kejayaan pelaburan dalam sebarang bidang, bersandarkan peluang besar yang sedia ada, pasti dapat mewujudkan peluang kerja baharu untuk rakyat negeri itu,” katanya.

Teks ucapan Musa telah dibacakan oleh Setiausaha Agung Yayasan WIEF pada majlis perasmian program Meja Bulat WIEF yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Musa juga membangkitkan kepentingan memastikan maklumat mengenai dasar kerajaan, rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan serta insentif yang dikemaskini, diserahkan kepada pelabur yang berpotensi.

Beliau berkata Sabah juga merupakan salah satu negeri yang pesat membangun manakala sumbernya yang luas dan pelbagai, turut menyediakan peluang bagi pembangunan dalam semua bidang secara berterusan.

Namun, sepertimana negeri-negeri lain di Malaysia, antara cabaran dihadapi Sabah adalah memastikan pembangunannya mampan dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini bermakna mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan pembangunan pesat dengan keperluan pemeliharaan landskap yang indah serta hutan simpannya yang kaya (dengan pelbagai khazanah),” katanya.

Musa turut mengingatkan bahawa pembangunan ekonomi memerlukan aliran pelaburan yang mantap, baik di peringkat domestik dan global.

Bagaimana pun, kata beliau, usaha menarik pelaburan ini menjadi semakin mencabar dalam persekitaran persaingan yang sengit dalam kalangan negara-negara lain di rantau ini.

— BERNAMA