Pilih Bahasa

SABAH MASIH TERUSKAN PENCARIAN PEMAIN IMPORT

Peter Anthony pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Bola Sepak Sabah dan Pengenalan Pemain Musim 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU, 27 Jan (Bernama) — Pasukan Bola Sepak Sabah belum menandatangani mana-mana pemain import untuk menguatkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Perdana 2019.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak (Safa) Sabah Datuk Peter Anthony berkata pencarian pemain import masih diteruskan dan pihaknya belum memuktamadkan pemain yang sesuai.

Katanya beberapa pemain dari luar negara antaranya dari Korea ada mengikuti sesi pemilihan dan akan ada lagi pemain luar negara hadir termasuk dari Brazil serta Indonesia.

“Kita akan buat keputusan sehari dua dan akan umum mengambil mereka atau sebaliknya. Selepas perbincangan diperingkat pengurusan dan penilaian oleh jurulatih akan kita maklumkan.

Ia juga melibatkan sama ada kewangan mampu atau tidak kita mengambil pemain import. Kalau berlaku kita akan menggunakan pemain tempatan sedia ada yang berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pemain Bola Sepak Sabah 2019 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Jersi Skuad Sabah yang ditaja Ararat Sports pada tahun ini berwarna putih untuk di padang sendiri dan merah untuk di tempat lawan sementara maskot badak sumbu sebelum ini diganti dengan tembadau, atau dikenali sebagai seladang di Semenanjung.  

Pasukan Sabah dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Jelius Ating mengekalkan beberapa pemain tempatan antaranya Rawilson Baitul, Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Mafry Balang pada musim ini.

Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata Safa menyasarkan pasukan bola sepak Sabah berada di kedudukan teratas pada saingan Liga Perdana 2019 untuk beraksi pada Liga Super pada tahun depan.

Katanya ia merupakan sasaran diberikan kepada pasukan bola sepak oleh pengurusan baharu Safa yang beliau pimpin.

Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Penaung Safa mahu jawatankuasa pengurusan baharu persatuan bola sepak negeri ini mengutamakan kebajikan pemain dan memastikan kewangan Safa diurus tadbir dengan baik tanpa ketirisan.

Katanya kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan berterusan kepada persatuan itu bagi memastikan program pembangunan sukan bola sepak di negeri ini melahirkan pemain yang berbakat mampu diketengahkan di peringkat kebangsaan hingga antarabangsa.

Justeru, katanya, Safa perlu meneruskan program pembangunan sukan bola sepak dan pencarian bakat bermula dari peringkat akar umbi di seluruh negeri ini.

— BERNAMA