Pilih Bahasa

SABAH MASIH TUNGGU RM14.7 JUTA PEMBAYARAN CUKAI PELANCONGAN DARI PERSEKUTUAN

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sabah masih belum menerima sebahagian daripada pendapatan cukai pelancongan tahun 2018 daripada kerajaan persekutuan.

Namun, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Ahad lalu berkenaan bayaran kutipan pendapatan cukai pelancongan sebanyak 50 peratus tersebut.

“Kita masih menantikan 50 peratus bahagian pendapatan cukai pelancongan 2018.

“Berdasarkan perkiraan yang dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), hasil cukai pelancongan yang belum dibayar oleh kerajaan persekutuan kepada Sabah adalah RM2.2 juta dari September sehingga Disember 2017.

Christina (dua kiri) menyambut kedatangan Pegawai Pembangunan Masyarakat UPPM Faridah Wasli yang mewakili Pengarah UPPM Sabah Abdullah Minun Sahirun pada majlis tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Manakala, sejumlah RM12.5 juta cukai yang sama sepanjang 2018 juga masih belum diterima dan menjadikan jumlahnya sebanyak RM14.7 juta,” katanya ketika membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan Sabah telah menerima hasil kutipan tersebut, dalam satu sidang media selepas majlis Perasmian Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Api-Api di sini pada Isnin.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menjelaskan bahawa kerajaan negeri juga mengalualukan pengagihan 50 peratus hasil cukai pelancongan tersebut dibuat pada suku pertama 2019.

“Menteri Kewangan berkata kerajaan persekutuan akan berkongsi dengan kerajaan negeri sebanyak 50 peratus daripada cukai pelancongan yang dikumpul ketika membentangkan Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada November lalu.

Tambahnya sejak pelaksanaan cukai pelancongan pada September 2017, pelancong asing dikenakan cukai sejumlah RM10 untuk sebuah bilik bagi setiap malam penginapan.

Pegawai Pembangunan Masyarakat UPPM Faridah Wasli (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pejabat tersebut sambil diperhatikan oleh Christina (kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya terdapat lebih daripada 11 juta buah bilik hotel di seluruh negara yang mana lebih kurang 75 peratus bilik-bilik tersebut terletak di Semenanjung Malaysia dan selebihnya adalah di Sabah dan Sarawak.

“Cukai yang disalurkan ke setiap negeri ini adalah sesuatu yang baik untuk meningkatkan usaha mempromosikan pelancongan, membaik pulih kemudahan dan membina lebih banyak infrastruktur pelancongan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Christina turut akan menggunakan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) 2019 beliau untuk meningkatkan imej bandaraya Kota Kinabalu.

Menurutnya Kota Kinabalu perlu diserlahkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Sabah kerana Kota Kinabalu menjadi pilihan perhentian pertama kepada mereka yang datang ke Sabah.

“Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan wakil-wakil rakyat sekitar Kota Kinabalu untuk usaha ini.

“Saya berharap pemilik kedai di bandaraya ini akan memberikan kerjasama kepada DBKK dalam usaha kita meningkatkan wajah bandaraya ini,”

Sementara itu, pada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah juga berkata pada majlis tersebut bahawa Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.15 akan menjadi sebuah pusat perkhidmatan masyarakat kawasan Api-api yang baharu.

Tambahnya pejabat tersebut akan menempatkan empat orang kakitangan sepenuh masa untuk mengoperasikan pusat tersebut. -SabahNewsToday